Antara warga asing yang ditahan. FOTO Nabihah Kamal
Antara warga asing yang ditahan. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Mampu tinggal di rumah setinggan dengan sewa sehingga RM1,000 sebulan. Itu maklumat diperoleh hasil serbuan di penempatan haram dihuni warga asing di Jalan Segambut, 12 malam tadi.

Dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) itu seramai 196 warga asing diperiksa dan 77 daripadanya ditahan kerana bekerja tanpa permit sah dan tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan.

Penolong Pengarah JIMWPKL Mohd Sharulnizam Ismail berkata, warga asing berkenaan menetap di kawasan penempatan haram yang mempunyai lebih 40 rumah sejak lima tahun lalu.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, rumah bekenaan dimiliki oleh seorang lelaki yang berasal dari Indonesia dan dia mengenakan sewa antara RM500 hingga RM1,000 sebulan kepada warga asing lain.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 63 warga Indonesia dan 14 Bangladesh. Kesalahan yang dilakukan adalah bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(l)dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 4:45 PM