Kamaruzaman ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Kamaruzaman ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Ahli keluarga Allahyarham Azri Mohamed, 27, yang meninggal dunia dipercayai terkena jangkitan kuman di ususnya pada 14 September lalu menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menuntut pembelaan kematian itu.

Mangsa yang ditahan di Penjara Pengkalan Chepa membabitkan kes dadah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Memorandum diserahkan adik mangsa, Nur Syazmira kepada Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Aduan dan Pemantauan SUHAKAM Shahizad Sulaiman di perkarangan Mahkamah Kota Bharu.

Hadir sama, Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jawatankuasa Bertindak Keadilan Untuk Azri,Kamaruzaman Ismail.

Kamaruzaman berkata, memorandum itu diserahkan kepada SUHAKAM untuk menuntut proses bedah siasat kedua dipercepatkan.

"Pada masa yang sama, kami mahu SUHAKAM jalankan siasatan penuh terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan hospital.

"Kita juga mahu mereka menjalankan tugas dengan telus, profesional dan bertanggungjawab dengan mengheret mereka yang bersalah kemuka pengadilan," katanya dalam sidang media di sini, tadi.

Harian Metro pada 15 September lalu melaporkan, Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung kematian seorang tahanan yang cedera pada usus selepas mendakwa dicederakan ketika dalam tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 3:51 PM