Sebahagian 80 ahli rombongan sebelum ke KLIA.FOTO STR/HAFIZUDIN MOHD SAFAR
Sebahagian 80 ahli rombongan sebelum ke KLIA.FOTO STR/HAFIZUDIN MOHD SAFAR
Hafizudin Mohd Safar


Kangar: Seramai 80 ahli keluarga dan saudara mara atlet orang kurang upaya (OKU), Mohamad Ridzuan Mohamad dan Abdul Latif Romly bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini untuk majlis sambutan atlet terbabit, esok.

Keluarga dua atlet terbabit masing-masing meraih pingat emas acara 100 meter dan lompat jauh di Sukan Paralimpik Rio, baru-baru ini berlepas jam 12 tengah hari.

Rombongan itu turut disertai beberapa atlet OKU, ahli persatuan OKU Perlis, Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya Perlis (PESRON) serta jurulatih sukan terbabit dan pegawai Jabatan Belia dan Sukan negeri.

Menurut Pegawai Khas Yayasan Pok dan Kassim (YPK), Mohd Noor Ismail, rombongan terbabit menaiki dua bas tajaan kerajaan negeri dan pihaknya.

"Selain menghadiri acara sambutan ketibaan atlet OKU di KLIA esok, kami akan mengikuti beberapa siri sambutan akan diadakan di Kuala Lumpur selepas itu," katanya di perkarangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis (JBSPS), di sini.

Sementara itu, ibu Abdul Latif, Salmah Yatim, 59, berkata, dia bersama ahli keluarga seramai 10 orang teruja mengikuti majlis sambutan yang bakal diadakan pihak kerajaan bagi meraikan kejayaan atlet OKU negara khasnya anaknya.

Bapa Mohamad Ridzuan, Mohamad Puzi Mat Isa, 56, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk YPK, kerajaan Perlis dan kerajaan Persekutuan yang menghargai jasa dan pengorbanan anaknya memenangi pingat emas pertama negara serta kepada seluruh kontingen Malaysia di kejohanan sukan itu.

Semua ahli rombongan terbabit berkumpul di perkarangan JBSPS turut diraikan oleh Pengarah JBS Perlis, Osman Abdul sebelum mereka berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 3:44 PM