MI Kari Baby Lobster punya kelainan tersendiri.
MI Kari Baby Lobster punya kelainan tersendiri.
KARI kepala ikan antara yang menjadi pilihan pelanggan di Restoran Chief Curry Lain Toq.
KARI kepala ikan antara yang menjadi pilihan pelanggan di Restoran Chief Curry Lain Toq.
AZAHAR dan Jannah menunjukkan dua hidangan menjadi kegemaran ramai di Restoran Chief Curry Lain Toq.
AZAHAR dan Jannah menunjukkan dua hidangan menjadi kegemaran ramai di Restoran Chief Curry Lain Toq.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Hidangan mi kari sudah sebati dengan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, kaum mahupun usia.

Selain dihidang untuk makanan tengah hari, mi kari menjadi pilihan dihidangkan pada waktu sarapan dan turut menjadi pilihan pada musim perayaan.

Penulis berkesempatan mencuba hidangan mi kari istimewa diberi nama ‘Mi Kari Baby Lobster’ di Restoran Chief Curry Lain Toq yang agak lain daripada yang lain.

Ia adalah mi kari yang dihidang bersama udang galah yang semestinya memberi sentuhan berbeza kerana kemanisan dan kesegaran rasa udang itu memberi nilai tambah kepada hidangan berkenaan.

Menurut pemilik restoran Azahar Othman, 45, dan Nurul Jannah Azmi, 25, selain udang galah memberi keunikan dalam menu berkenaan, rasa kuah mi kari itu sendiri turut membuatkan keseluruhan hidangan itu enak.

Azahar yang juga cef di restoran berkenaan berkata, proses memasak berbeza antara kelainan yang ditampilkan dalam hidangan berkenaan.

“Dari segi memasak, saya sentiasa tumpukan perhatian pada periuk pada waktu menumis. Ini kerana bagi saya waktu menumis paling penting kerana jika bahan tumisan hangus atau mentah, ia akan memberi kesan pada rasa mi kari itu.

“Saya juga mengutamakan kesegaran bahan digunakan. Saya gabung­kan beberapa rempah dan hasilkan pes sendiri bagi memberi keunikan rasa yang hanya boleh didapati di sini.

“Penggunaan udang galah menyebabkan rasa mi kari ini ke tahap berbeza,” katanya.

Selain Mi Kari Baby Lobster, antara hidangan lain yang turut menjadi pilihan ramai ialah kari kepala ikan.

Pengunjung pasti tidak kecewa mencuba menu berkenaan kerana selain harga agak rendah, rasanya seperti masakan di rumah.

Kata Azahar, rata-rata pengunjung yang pernah mencuba berpendapat kari kepala ikan di restoran itu berbeza kerana tiada rasa rempah mentah seperti yang pernah mereka rasa di tempat lain.

Menurut Azahar, rempah kari ikan turut dihasilkan sendiri bagi memenuhi cita rasanya dan sama seperti rasa kari utara.

Lebih menarik, kari kepala ikan turut dihidang bersama ulam ‘Lain Toq’ iaitu cili hijau, bawang besar dan kacang bendi dicampur bersama kicap sebagai pelengkap ketika menikmati kari bersama nasi putih.

Restoran Chief Curry Lain Toq yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam baru beroperasi Ogos lalu dan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 10:49 AM