Siti Fatimah Hassan


Gombak: Lebih 3,000 umat Islam menyahut seruan ke arah meningkatkan kesedaran terhadap amalan membaca al-Quran dengan menyertai program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangssa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.

Program membaca al-Quran dalam tempoh sejam bermula 9 pagi itu bukan saja diadakan serentak di seluruh negara, malah turut dilakukan di lebih 50 negara lain seluruh dunia.

Turut menyertai program berkenaan ialah Penasihat Sosio Budaya Kerajaan yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali serta Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Hussamuddin Yaacub.

Turut hadir, Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff mengakui terharu dengan sambutan luar jangkaan yang diterima daripada orang ramai terhadap program itu biarpun baru pertama kali diadakan.

Beliau berkata, pihaknya sudah memulakan inisiatif membudayakan pembacaan al-Quran sejak tiga tahun lalu dan ia adalah gerakan terbesar yang dilakukan setakat ini.

“Kita tidak sangka sambutan diterima amat menggalakkan apabila ramai umat Islam bukan saja mengadakan program ini di tempat masing-masing, malah ada yang membaca al-Quran di 700 hotspot di seluruh negara.

“Kita sebenarnya meletakkan sasaran 10 juta umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia menyertainya, namun kita difahamkan di India saja seramai lapan juta umat Islam menyertai program ini.

“Diharapkan amalan membaca al-Quran tidak terhenti di sini dan akan berterusan. Kami juga bercadang menjadikan program ini sebagai acara tahunan pada setiap 9 Zulhijjah,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Antara negara yang menyertai program itu termasuk Albania, Australia, Bangladesh, Belgium, Bosnia, Brunei, Bulgaria, Perancis dan Turki.

Selain itu, Marhaini berkata, kempen meningkatkan kesedaran terhadap pembacaan al-Quran juga diperluaskan dengan kewujudan 1,200 Rumah Ngaji di setiap negeri.

“Kita sebenarnya sudah ada 1,200 Rumah Ngaji dan disasarkan kepada mereka yang mahu belajar baca al-Quran. Berdasarkan pengalaman kita, daripada 10 individu, terdapat tujuh individu tidak boleh membaca al-Quran.

“Kita cuba bimbing mereka terutama yang sibuk dengan urusan harian dan tidak sempat belajar. Setakat ini, sudah ada 5,000 guru mengaji al-Quran yang menawarkan khidmat mereka secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 8:08 AM
PESERTA membaca al-Quran ketika program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa.
PESERTA membaca al-Quran ketika program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa.