AGENSI kerajaan, badan korporat dan selebriti yang hadir pada program taklimat World #QuranHour.
AGENSI kerajaan, badan korporat dan selebriti yang hadir pada program taklimat World #QuranHour.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kira-kira 6,000 pengunjung dijangka berkumpul di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dekat sini, sempena program World #QuranHour pada 11 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata, program yang bakal diadakan serentak selama sejam mulai jam 9 pagi di seluruh dunia itu dijangka mampu menyatukan umat Islam tanpa mengira perbezaan bangsa, darjat atau fahaman politik.

“Kita mahu umat Islam seluruh dunia kembali kepada al-Quran kerana ia adalah kalam suci yang diturunkan Allah untuk dijadikan pembimbing ke jalan yang diredhai-Nya.

“Pada hari berkenaan kita mahu seluruh umat Islam bersama membaca, menghayati memahami seterusnya mengamalkan ayat suci al-Quran,” katanya ditemui selepas program Sinergi Organisasi & Selebriti Malaysia untuk World #QuranHour, di sini, semalam.

Marhaini berkata, sehingga kini, sebanyak 117 negara, pelbagai persatuan dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) memberi maklum balas positif untuk menyertai program itu.

“Kita juga dimaklumkan kira-kira 10 juta umat Islam di India akan turut bersama-sama membaca al-Quran ketika World #QuranHour berlangsung,” katanya.

Pada masa sama, 14 negeri lain turut menganjurkannya di lokasi tertentu membabitkan gabungan pelbagai pihak termasuk individu dan berkumpulan.

Beliau berkata, 9 Zulhijjah dipilih kerana pada ketika itu Padang Arafah di Makkah menjadi tumpuan jemaah haji.

“Jika sebelum ini, kita sering menyambut kempen Earth Hour iaitu seluruh dunia bergelap selama sejam, justeru mengapa tidak kita sebagai umat Islam mengambil masa sama untuk membuka, membaca dan berinteraksi dengan kitab suci al-Quran?

“Selama ini kita baca tetapi mungkin ada yang tidak mengetahui maksudnya dan program ini mengajak kita membaca, memahami seterusnya mengamalkan ayat suci al-Quran,” katanya.

Turut tampil menyokong program berkenaan adalah pelbagai agensi media tempatan antaranya Kumpulan Media Prima Berhad termasuk Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times selain agensi lain seperti Astro, Radio Televisyen Malaysia, TV AlHijrah, Kumpulan Utusan, BERNAMA serta Kumpulan Media Karangkraf.

Program World #QuranHour adalah kesinambungan inisiatif sejak 2013 menerusi Program #AktifkanRumahNgaji yang kini memiliki 1,000 pusat di seluruh negara yang menawarkan pengajian al-Quran percuma manakala program #MalaysiaNgaji diadakan pada 24 Ramadan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:17 AM