ORANG ramai membaca al-Quran sempena World Quran Hour di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
ORANG ramai membaca al-Quran sempena World Quran Hour di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
IMAM Masjid Kerajaan Negeri, Che Mohd Fakhrul Rozi Che Ismail mengetuai bacaan al-Quran pada program World #QuranHour di Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
IMAM Masjid Kerajaan Negeri, Che Mohd Fakhrul Rozi Che Ismail mengetuai bacaan al-Quran pada program World #QuranHour di Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Siti Fatimah Hassan - Mohamad Fahd Rahmat - Muhamaad Razis Ismail - Aslina Abu Bakar - Hidayah Mahmud - Muhammad Zulsyamini Sufian Suri - Mohd Amin Jalil

Kuala Lumpur: Umat Islam di seluruh negara membaca al-Quran selama sejam sempena Program World #QuranHour yang diadakan buat julung kali di negara ini, hari ini dan turut disambut di seluruh dunia.

Di Gombak, kira-kira 3,000 umat Islam hadir untuk menyertai program itu di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program turut dihadiri Penasihat Sosio Budaya Kerajaan yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

"Berkumpul kita di UIAM menandakan corak kemasyarakatan Islam. Acara ini tak dapat dibandingkan dengan kegiatan lain. Marilah kita bersama-sama terus perkukuh insaniah dan ketepikan perbezaan," katanya ketika berucap.

Rais memulakan program World #QuranHour dengan bacaan surah al-Fatihah disusuli bacaan surah al-Baqarah oleh Othman.

Di Johor Bahru, kira kira 2,000 umat Islam menyertai program yang berlangsung pada 9 pagi hari ini di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn.

Penganjur yang juga Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Johor, Shamsudin Ismail berkata, program berkenaan diadakan bertujuan memupuk budaya pembacaan al Quran dalam kalangan masyarakat terutana generasi muda.

"Kesannya berjaya minat generasi muda supaya mereka cintakan ak Quran kerana pada hari ini kita melihat kurangnya pendekatan seumpamanya.

"Kami selalu menganjurkan program membudayakan al Quran di hospital, penjara dan tenpat umum bagi membolehkan umat Islam menemui keindahan dan mudahnya membaca al Quran.

"Jika tidak diadakan anjakan paradigma (dengan program seumpamanya, siapa lagi yang patut bangkitkan melainkan menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Di Kota Bharu, kira-kira 8,000 umat Islam menyertai program di Masjid Muhammadi dan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, bermula 9 pagi tadi.

Majlis sama turut diadakan di 12 lokasi lain yang diadakan serentak di seluruh Kelantan.

Majlis dimulakan dengan solat Dhuha dan solat hajat sempena Hari Wukuf sebelum dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran selama sejam.

Di Masjid Muhammadi bacaan diketuai oleh Juara Qari Junior 2016 Ahmad Naufal Fauzi., 12.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan wakil Menteri Besar Kelantan Dr Md Yusnan Yusof

Di Kuala Terengganu, Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Abd Jalil Ali berkata, penganjuran Program World #QuranHour diharap menjadi penanda aras umat Islam di Malaysia agar kembali kepada pendidikan al-Quran sebagai pendidikan utama.

"Alhamdulillah pada hari ini, kita berjaya mendengar dan membaca ayat suci al-Quran selama 30 minit dan mendengar tafsiran serta tadabbur Quran selama 30 minit.

"Objektif utama kita bersama-sama seluruh masyarakat Islam dunia menjayakan program ini kerana kita mahu bacaan ayat suci al-Quran diamalkan sepanjang masa dan bukannya untuk tempoh satu jam sahaja,"katanya ketika ditemui selepas Program Satu Jam Bersama al-Quran, World #QuranHour.

Seramai 150 peserta daripada masyarakat sekitar Batu Buruk hadir menjayakan program yang bermula 9 pagi serentak di seluruh dunia.

Di Ipoh, Semperna program World Quran Hour yang diadakan hari ini, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) tidak ketinggalan menyertainya dengan menganjurkan aktiviti bertadarus al-Quran di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini hari ini.

Program bermula 8 pagi itu disertai kira-kira 200 peserta dari berbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk di sekitar daerah Kinta.

Di Perak, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) tidak ketinggalan menyertai program World #QuranHour dengan menganjurkan aktiviti bertadarus al-Quran di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat.

Program bermula 8 pagi itu disertai kira-kira 200 peserta dari berbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk di sekitar daerah Kinta.

World #QuranHour turut diadakan di enam lokasi lain termasuk di Taiping, Teluk Intan, Kuala Kangsar, Sungai Siput, dan Parit.

Pengerusi PWPP, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, program yang disambut umat Islam di seluruh dunia itu bertepatan dengan hari jemaah Haji wukuf di Padang Arafah dan bertujuan menyatukan hati umat Islam berpaksikan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.

“Sebagaimana jemaah haji seluruh dunia yang berhimpun di Padang Arafah hari 9 Zulhijjah ini, kita pula berhimpun meluangkan masa selama satu jam bagi menyambut hari besar ini dengan aktiviti membaca al-Quran dan solat Duha sebagai tanda penyatuan umat.

“Walaupun kami NGO yang memberi tumpuan kepada isu-isu kewanitaan, namun program hari ini adalah terbuka kepada semua golongan dan Alhamdulillah, aktiviti membaca al-Quran anjuran kali ini disertai peserta lelaki dan kanakk-kanak," katanya.

Di Seremban, Program WORLD #QuranHour yang turut diadakan di Masjid Negeri dan menerima penyertaan kira-kira 500 peserta.

Program yang bermula 9 pagi itu dianjurkan Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk setempat.

Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Pengerusi Wanita PERKIM Seremban, Gharizah Hasyim berkata, peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan mengikut juzuk, dan diakhiri dengan acara khatam al-Quran secara serentak.

Menurutnya, pelaksanaan program itu dapat mendidik generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai sahabat dan panduan kehidupan.

Program turut dihadiri Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mat Ali Hassan.

Program julung kali yang diadakan secara serentak seluruh negara itu sempena ibadat kemuncak haji iaitu wukuf di Padang Arafah, Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 11:53 AM