BUDA  (tengah) bersama  Syarul (kanan) dan Muhammad Roszaimi Abd Ghani (kiri) menunjukkan pingat  dimenangi pada Kejohanan Bina Badan Asia 2016  di Bhutan.
BUDA (tengah) bersama Syarul (kanan) dan Muhammad Roszaimi Abd Ghani (kiri) menunjukkan pingat dimenangi pada Kejohanan Bina Badan Asia 2016 di Bhutan.

Sepang: Juara Kejohanan Bina Badan Asia 2016 Buda Anchah dan Syarul Azman Mahen Abdullah kecewa sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Buda yang meraih dua gelaran Mr Asia apabila muncul juara kategori lightweight dan masters pada kejohanan edisi ke-50 di Bhutan itu, berkata mereka sudah membuktikan acara bina badan boleh menyumbangkan sekurang-kurangnya tiga emas kepada Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

“Kami kecewa Sukan SEA 2017 tiada (acara bina badan). Kami sudah buktikan sebagai jaguh Asia, kami boleh mencatat pencapaian lebih baik di peringkat Asia Tenggara,” katanya yang meraih gelaran itu buat kali pertama selepas terpaksa akur di tempat kedua pada kejohanan berkenaan tahun lalu.

Beliau ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, selepas tiba dari Bhutan, semalam.

Syarul Azman Mahen yang mempertahankan gelaran dalam kategori ‘athletic physique 170sm + 3kg’, berkata Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak sepatutnya mengetepikan bina badan daripada Sukan SEA.

“Apa salahnya MOM masukkan bina badan dalam Sukan SEA kerana kita memerlukan lebih banyak emas untuk muncul juara keseluruhan,” katanya yang meraih tiga perak tiga dan satu gangsa pada kejohanan itu sejak mula mewakili negara pada 2007. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:36 AM