SYARUL Azman (belakang tengah) bersama pegawai pasukan negara di Uzbekistan.
SYARUL Azman (belakang tengah) bersama pegawai pasukan negara di Uzbekistan.

Kuala Lumpur: Hanya kejuaraan kategori athletic physique (165sm) diraih Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menjadi pengubat duka skuad atlet bina badan negara di Kejohanan Bina Badan Asia di Uzbekistan.

Atlet berusia 42 tahun berkenaan memastikan Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran Mr Asia ketika rakan lain sekadar meraih satu perak dan dua gangsa.

“Ini pencapaian tertinggi saya selepas sekadar berada pada kedudukan kedua dan ketiga sejak mula bersaing pada 2009,” kata Syarul Azaman yang tiba di tanah air semalam.

Dia menewaskan 10 peserta lain dengan perak diraih peserta Vietnam.

“Saya sangat gembira sehingga menangis di atas pentas. Penantian saya sudah berakhir,” tambahnya.

Perak diraih Tan Wei Yan yang beraksi dalam acara junior bawah 70 kilogram manakala Rozaimi Abd Rani (60kg ke atas) dan Buda Anchah (70kg ke atas) masing-masing menyumbang gangsa.

Jaguh bina badan negara Sazali Samad tidak menyertai kejohanan yang berakhir kelmarin itu kerana mengalami kecederaan.

“Sedih juga apabila Sazali tidak dapat bersama. Namun kami menguatkan semangat untuk menjadi juara, akhirnya satu kejuaraan berjaya diraih,” katanya.

Sementara itu, Buda secara rasminya dikalung pingat gangsa dalam kategori 80kg ke bawah untuk Sukan SEA 2013 oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar selepas atlet Myanmar didapati positif menggunakan bahan terlarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 7:10 AM