RAZLAN  (kiri) bersama Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab (tengah) dan wakil Hiliran Kanan Shell Malaysia Shairan Huzani Husain  pada majlis pelancaran GP Malaysia.
RAZLAN (kiri) bersama Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab (tengah) dan wakil Hiliran Kanan Shell Malaysia Shairan Huzani Husain pada majlis pelancaran GP Malaysia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali menyasarkan penyambungan kontrak lebih lama iaitu lima tahun untuk penganjuran Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia selepas kontrak selama tiga tahun akan tamat tahun ini.

Razlan ketika ditemui pada majlis pelancaran GP Malaysia semalam berkata, dengan kejayaan penganjuran GP Malaysia terutamanya tahun lalu, beliau yakin kontrak itu akan disambung.

“Tahun ini adalah tahun terakhir kontrak penganjuran MotoGP. Kami sedang berbincang dengan pihak kerajaan berkenaan penyambungannya.

“Kebiasaannya tawaran kontrak adalah antara tiga hingga lima tahun.

“Harap sebelum bermulanya GP Malaysia, kami akan dapat jawapannya. Tapi, saya yakin dengan kejayaan GP Malaysia tahun lalu, kontrak penganjuran MotoGP akan disambung semula,” katanya.

Jelas Razlan, beliau mengharapkan penyambungan kontrak untuk lima tahun kerana ia lebih mudah berbanding kontrak pendek tiga tahun yang kemudian perlu dibincangkan semula soal penyambungannya.

Sementara itu, mengulas GP Malaysia dari 28 hingga 30 Oktober depan, Razlan mengharapkan salah seorang daripada pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Raceline Malaysia), Khairul Idham Pawi (Honda Team Asia) atau Adam Norrodin (SIC Racing Team) dapat muncul juara perlumbaan.

“Zulfahmi (Khairuddin) berjaya menduduki tangga kedua pada 2012 dan tahun ini di Kejohanan Superbike Dunia.

“Sudah cukuplah nombor dua, kali ini kami harapkan kejayaan tangga pertama bagi membolehkan lagu Negaraku berkumandang kali pertama di Sepang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 12:14 PM