GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

Sydney: Kesilapan juruterbang memasuki kedudukan longitud ke dalam sistem penerbangan adalah punca pesawat penerbangan AirAsia X dari Sydney ke Malaysia terpesong ke Melbourne, 10 Mac tahun lalu, menurut siasatan Biro Keselamatan Pengangkutan Austrailia (ATSB).

Laporan siasatan ATSB yang dikeluarkan hari ini berkata, pengawal trafik udara mula berjaga-jaga apabila pesawat itu didapati terbang ke arah yang lain.

Pengawal trafik udara memberitahu anak kapal terbabit tetapi cubaan membetulkan masalah itu hanya “memburukkan lagi sistem navigasi serta sistem panduan dan kawalan penerbangan,” katanya.

“ATSB mendapati, kapten pesawat memasuki kedudukan longitud yang salah secara tidak sengaja ke dalam sistem pengurusan penerbangan dan panduan pesawat.

“Kesilapan ini menjejaskan sistem navigasi dalaman. Namun, walapun terdapat beberapa peluang untuk mengenal pasti dan membetulkan kesilapan ini, ia tidak disedari sehingga selepas pesawat berada di udara dan mula menjejak arah yang salah,” katanya.

Siasatan ATSB juga mendapati sistem pengurusan penerbangan pada pesawat itu tidak dikemaskini kepada sistem terbaru yang boleh mengelak kesilapan kemasukan data.

“Kesilapan diagnosis turut bertambah akibat beban kerja berat dan bimbingan terhad daripada senarai semak,” katanya.

Juruterbang yang hanya mempunyai pengalaman 18 bulan bersama pesawat A330 membuat keputusan untuk pulang ke Sydney namun terpaksa terbang secara manual ke Melbourne di mana pesawat selamat mendarat, katanya.

Sejak kejadian itu, AirAsia sudah berkongsi pengalaman dengan semua juruterbangnya selain menghasilkan manual latihan baru untuk anak kapalnya, kata ATSB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 9:15 PM