Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Pengkalan Hulu: Seorang lelaki patah bahu kanan ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) dekat dekat Taman Tasek Permai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.53 petang itu, mangsa ditemukan tersangkut pada pokok buluh sebelum diselamatkan anggota bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan semasa melakukan luncur udara dan tersangkut pada pokok buluh menyebabkan dia mengalami kecederaan.

"Anggota bomba menurunkan mangsa dan memberikan rawatan awal melalui Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 5:40 PM