KEADAAN lori yang terbabas lalu terbalik di Jalan Raya Pengkalan Hulu-Gerik. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN lori yang terbabas lalu terbalik di Jalan Raya Pengkalan Hulu-Gerik. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Rashidi Yusuf.


Pengkalan Hulu: Seorang lelaki maut apabila lori tanpa muatan yang dipandunya terbabas di bahu jalan di Kilometer 6, Jalan Raya Pengkalan Hulu-Gerik, di Kampung Bukit Buluh, dekat sini, petang hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, Abdul Aziz Zahari, 54, dari Felda Bersia, Gerik yang tersepit di tempat duduk pemandu yang terbalik itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fairus Noordin berkata, selepas menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota yang tiba di lokasi mendapati lori tanpa muatan itu dalam keadaan terbalik di bahu jalan.

Katanya, pihaknya mendapati pemandu tersepit di tempat duduk dan anggota segera bertungkus lumus mengeluarkan mangsa.

"Kami mengeluarkan mangsa yang tersepit tanpa menggunakan peralatan khas dan segera membuat rawatan awal, bagaimanapun mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

"Mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, operasi hampir sejam itu tamat 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 11:30 PM