HISHAMMUDDIN ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong. FOTO Yazit Razali
HISHAMMUDDIN ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong. FOTO Yazit Razali
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Pix Yazit Razali

Bentong: Malaysia bersedia menghantar satu batalion infantri sebagai kumpulan tempur untuk unit penempatan pusat dan satu skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja bagi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kesediaan itu dilakukan susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak Pasukan Pengaman PBB di New York, Amerika Syarikat, tahun lalu.

"Apa yang diumumkan Perdana Menteri tahun lalu sudah sedia diaturgerak dan diperiksa untuk penilaian bahagian sekretariat Jabatan Operasi Pasukan Pengaman PBB.

"Inisiatif ini turut membabitkan penghantaran 100 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan ditugaskan bersama Pasukan Polis PBB," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Bentong, di Dewan Majlis Daerah Bentong, di sini, hari ini.

Hishammuddin memberitahu, dia juga akan ke London, United Kingdom pada minggu hadapan untuk bersama menteri pertahanan daripada 77 negara lain dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Pasukan Pengaman PBB bagi memperincikan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 1:11 PM