NAJIB bersama   Mustapa (tengah) dan ahli  NEC  selepas melancarkan Kempen 'Beyond Nations' di Bangunan Perdana Putra, semalam
NAJIB bersama Mustapa (tengah) dan ahli NEC selepas melancarkan Kempen 'Beyond Nations' di Bangunan Perdana Putra, semalam
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan akan menumpukan kepada tiga sektor utama untuk meningkatkan nilai eksport negara iaitu pelancongan kesihatan, automotif dan aeroangkasa bagi memastikan negara mengekalkan lebihan dalam akaun semasa lebih ‘sihat’.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam Majlis Eksport Negara (NEC) kali ketiga 2016 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam.

“Seperti diumumkan Gabenor Bank Negara, lebihan akaun semasa negara mengecil dalam tempoh separuh tahun pertama 2016 iaitu pada 1.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding separuh tahun pertama tahun lalu, iaitu 3.1 peratus.

“Walaupun ada lebihan, tetapi jumlahnya lebih kecil. Saya percaya tindakan ini membantu kerajaan terus mencatatkan satu lebihan akaun semasa lebih mantap,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat NEC, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud.

Mustapa berkata, strategi yang akan diambil dalam industri automotif termasuk meningkatkan usaha persaingan bagi pengeluar tempatan, diversifikasi produk dan mengadakan promosi eksport di pasaran berpotensi tinggi.

Katanya, pada 2015, Malaysia mengeksport bahagian dan komponen automotif bernilai RM9.8 bilion dan mengimport RM11.7 bilion.

“Ia satu jumlah defisit yang besar. Institut Automotif Malaysia (MAI) membentangkan kertas cadangan untuk mengurangkan kadar defisit itu dan kami berharap nilai import dapat dikurangkan sehingga separuh menjelang 2020.

“Pada masa sama, kita memastikan eksport model diimport sepenuhnya (CBU) seperti Mazda dan Subaru yang dipasang di Malaysia ditingkatkan lagi,” katanya.

Dalam industri aeroangkasa pula, beliau berkata, tumpuan diberikan kepada usaha menyepadukan peserta aeroangkasa Malaysia ke dalam rantaian bekalan global bagi pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pembekal utama Tahap 1.

Selain itu, kerajaan akan memperluaskan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta membangunkan Malaysia sebagai hab untuk operasi OEM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:58 AM