MOHD Razli (kanan) memeriksa replika kapal terbang.
MOHD Razli (kanan) memeriksa replika kapal terbang.
D J Dolasoh


Sambutan ulang Hari Kebangsaan tahun ini terus semarak dengan pelbagai kreativiti ditunjukkan sama ada individu atau kumpulan sebagai tanda semangat patriotik.

Penduduk di kawasan pedalaman turut memasang Jalur Gemilang dengan pelbagai kreativiti termasuk membina replika objek mengikut tafsiran sendiri.

Mohd Razli Ahmad, 63, dari Kampung Lenggong, Hulu Perak turut menjadikan halaman rumahnya untuk dicontohi dengan membina replika kapal terbang bagi tontonan umum.

Pesawat sepanjang empat meter yang diperbuat daripada bahan terbuang itu dibaluti Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak.

Dia turut menggubah dekorasi kediamannya agar tampak lebih menarik dan unik dengan memasang Jalur Gemilang dan mewujudkan ‘Sudut Merdeka’.

Mohd Razli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lenggong berkata, beranda rumahnya dijadikan ‘Sudut Merdeka’ yang dipenuhi dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz termasuk digantung di siling.

“Sudut ‘Info Merdeka’ pula diwujudkan di garaj kereta dengan pameran tokoh pemimpun negara dan negeri berasal dari Lenggong seperti Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi, Datuk Sri Ahmad Said, Tan Sri Abdul Aziz Yop selain pemimpin yang masih ada seperti Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Datuk Khamsiyah Yeop.

“Saya menjadikan bahagian depan rumah sudut utama kerana di sini lokasi utama dilihat tetamu terutama mereka yang melalui jalan raya utama Kuala Kangsar ke Gerik,” katanya.

Mohd Razli berkata, kerja menyediakan sudut itu turut dibantu isteri Fatimah Ahmad, 65, dan anak Mohd Alif, 26.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 6:35 AM