PELANCONG asing yang hadir gembira kerana turut dapat bermesra dengan penduduk tempatan.
PELANCONG asing yang hadir gembira kerana turut dapat bermesra dengan penduduk tempatan.
D J Dolasoh


Layang-layang antara permainan tradisional mendominasi masyarakat kita sejak zaman dulu yang menyeronokkan.

Bukan saja mengisi masa lapang terutama selepas musim menuai padi di bendang malah kini dijadikan acara pertandingan.

Sama ada untuk pertandingan layang-layang naik tinggi atau sekadar kreativiti mencipta paling cantik untuk hiasan, ia berjaya menyatukan masyarakat atau penduduk antara kampung dan negeri.

Malah, beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak dan Johor turut adakan penganjuran permainan layang-layang atau wau oleh kerajaan negeri badan bukan kerajaan.

Di Hulu Perak, acara Pertandingan Layang-Layang Terbuka Parlimen Lenggong turut dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dengan kerjasama Leadership Programme, Pejabat Belia dan Sukan Lenggong, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Teluk Batu dan Persatuan Belia Perwira Kampung Teluk Batu, Lenggong, baru-baru ini.

Program dua hari bertempat di padang sawah padi Kampung Teluk Batu itu meriah meskipun disertai hanya 20 peserta kategori layang-layang terbang melayang dan 10 layang-layang tercantik tetapi ia ditontoni ratusan peminat daripada beberapa kampung sekitarnya.

Peserta membuat sendiri layang-layang dengan dibantu rakan dalam pelbagai jenis dan bentuk termasuk berbentuk haiwan seperti burung, kucing, ular, kelawar, roket, bulan selain logo seperti jalur gemilang serta bendera negeri.

Pemenang kategori layang-layang terbang melayang johan dimenangi Abd Aziz Mat Husin jenis Kemetek, naib johan Arif Zakaria jenis Kubung dan ketiga Mohd Azami Shamsuri dengan wau bulannya.

Pengerusi Penganjur yang juga Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, penganjuran seperti ini bukan saja mencungkil bakat dan kreativiti dalam seni mencipta layang-layang tetapi juga memupuk perpaduan serta silaturahim antara masyarakat.

“Melalui pertandingan dan permainan layang-layang ini peserta atau penduduk antara kampung dapat mengenali antara satu sama lain sekali gus mengeratkan perpaduan sebagaimana yang dikehendaki.

“Usaha mengukuhkan silaturahim seperti ini wajar disokong semua pihak kerana ia memberi kebaikan bersama selain dapat berhibur melalui permainan yang pernah mendominasi masyarakat zaman dahulu,” katanya.

Menurutnya, permainan layang-layang atau wau memerlukan berdisiplin dan kesabaran yang tinggi sama ada ketika membuatnya atau mengendalikan di udara bagi menjamin ia tidak mudah jatuh atau mengalami masalah.

Katanya, lebih penting permainan ini dapat menghindari anak muda daripada terjebak dengan gejala dadah dan jenayah selain mengelak perbuatan tidak memberi faedah seperti merempit atau melepak.

“Sambutan pada acara julung kali diadakan ini sangat memberangsangkan kerana ramai belia selain dewasa keluar menyaksikan pertandingan dengan penuh minat hingga ramai yang meminta ia dianjurkan lagi.

“Membanggakan apabila beberapa pelancong dari luar negara juga turut hadir dan teruja melihat pertandingan diadakan di tengah bendang padi yang baru selesai dituai baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 5:59 AM