FOTO Aizat Sharif
FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Lebih 3,000 orang ramai dari seluruh Perlis membanjiri Dataran Merdeka Kangar berhadapan padang Hospital Tuanku Fauziah disini bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri Perlis pada pagi ini.

Persembahan koir seramai 190 orang terdiri daripada anggota kakitangan kerajaan negeri, agensi dan badan berkanun yang berkhidmat di negeri Perlis dimulakan sekitar jam 8.45 pagi sebelum perarakan perbarisan bermula pada 9.30 pagi.

Perarakan dari pelbagai kontinjen mewakili kerajaan negeri, jabatan kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri, universiti awam, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) berarak bermula dari Jalan Tun Abdul Razak menuju ke Jalan Abi Tok Hashim kira-kira satu kilometer.

Turut sama menyertai perarakan perbarisan berkenaan adalah kontinjen badan beruniform dari Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Selain itu juga, perarakan turut diserikan dengan perarakan aset ketenteraan dan keselamatan seperti kenderaan tempur dari pasukan keselamatan yang terbabit.

Hadir menyaksikan sambutan berkenaan adalah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan barisan jemaah exco kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:28 AM