Aizat Sharif


Kangar: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan RM950,000 bagi membantu 19 keluarga daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) di Perlis menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat.

Bantuan yang diberikan menerusi bentuk sumbangan kediaman baharu yang dibina atas inisiatif TNB dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada 19 keluarga yang menerima manfaat berkenaan, dua daripadanya adalah keluarga bukan Islam.

"Dalam masa sama, penyerahan kediaman baharu kepada 17 keluarga beragama Islam diharapkan memberi kegembiraan kepada mereka menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Malah, saya yakin bantuan ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban penerima dan keluarga mereka terutama dalam menjalani ibadah puasa nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Negeri Perlis dan Penyampaian Zakat Perniagaan TNB Perlis 2019 di sebuah hotel, di sini hari ini.

MAHDZIR (dua kiri) bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) menyampaikan zakat perniagaan TNB Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada MAIPs di Kangar. FOTO Aizat Sharif
MAHDZIR (dua kiri) bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) menyampaikan zakat perniagaan TNB Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada MAIPs di Kangar. FOTO Aizat Sharif

Majlis turut dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang juga Ahli Majlis MAIPs Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam majlis berkenaan, TNB turut menyerahkan zakat perniagaan TNB Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada MAIPs.

Sejak Program Baiti Jannati dilaksanakan di Perlis pada 2008, TNB sudah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.16 juta membabitkan pembaikan dan pembinaan 47 buah kediaman.

Selain itu, sebanyak RM520,000 sudah disumbangkan untuk pembaikan dan pembinaan kediaman di bawah Projek Mesra Rakyat kepada 16 penerima di negeri itu sejak 2013.

Terdahulu dalam majlis sama juga, Tuanku Syed Faizuddin berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan berkenaan kepada semua penerima program berkenaan.

Bagi seorang pemandu bas, Hayazi Zakaria, 46, dia tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan rumah baru yang selesa menjadi kenyataan.

"Rumah saya sebelum ini mengalami pelbagai masalah dengan atap bocor serta dinding rumah mulai dimakan anai-anai.

"Namun, permohonan saya akhirnya diluluskan MAIPs dan berjaya disiapkan dengan dibantu oleh TNB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:55 PM