Rawatan kecemasan diberi kepada mangsa Jeti Mari-Mari Kuala Abai sebelum disahkan meninggal dunia. - Foto Mohd Ruzaini Zulkepli
Rawatan kecemasan diberi kepada mangsa Jeti Mari-Mari Kuala Abai sebelum disahkan meninggal dunia. - Foto Mohd Ruzaini Zulkepli
Ardyhansah Amat


Kota Belud: Seorang wanita warga China ditemui lemas ketika menyertai aktiviti ‘snorkeling’ di perairan Pulau Mantanani, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, Xie Zhuan Yuan, 29, ditemui terapung di perairan yang sama kira-kira 100 meter dari lokasi kali terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian mangsa bersama 31 pelancong lain menyertai pakej pelancongan pergi balik ke pulau berkenaan.

"Selepas 30 minit snorkeling, semua pelancong diarahkan naik ke bot, namun mangsa dikatakan hilang dan gagal dijejaki.

"Ketika usaha mencari dijalankan, sebuah bot pelancong yang lain dan memaklumkan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terapung di air," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian dihantar segera ke Jeti Mari-Mari Kuala Abai dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:16 PM