RUHAINIES dan Saharul digandingkan dalam satu kumpulan.
RUHAINIES dan Saharul digandingkan dalam satu kumpulan.
Ridzuan Abdul Rahman


Media dan artis ibarat aur dan tebing yang saling memerlukan. Kerjasama erat diperlukan oleh kedua-dua pihak bagi melancarkan kerjaya seni masing-masing. Itulah ungkapan tepat bagi menggambarkan keakraban kedua-dua pihak bagi memajukan lagi industri seni tanah air.

Justeru, langkah bijak diambil oleh portal video nombor satu Malaysia, Tonton, apabila membawa rombongan media dan empat artis iaitu Saharul Ridzwan, Mia Ahmad, Ruhainies Farehah Zainul Ilyas dan Azrel Ismail mengikuti program pelancaran rasmi wajah baru Tonton di Melaka selama dua hari pada 25 dan 26 Ogos lalu.

Pusat percutian Desa Balqis Beach Resort yang jauh dari riuh-rendah dan kesibukan kota menjadi pilihan acara itu bagi memperkenalkan beberapa perancangan dan program terbaru tonton iaitu It’s A Date, Cinta Roller Coaster dan Secret Lover.

Turut diperkenalkan program eksklusif Tonton iaitu Hijab Chic, Crazee Stupid Stuff, 1001: Celebrity Encounters dan Cinta Masam Manis.

Pelancaran rasmi dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital Rafiq Razali, Pengurus Besar Kumpulan ntv7, 8TV, Tonton Airin Zainul dan Pengurus Besar Tonton Bern Jern Loh.

Bagaimanapun, pada sebelah petangnya, wakil media dan artis ini ‘dipaksa’ bermandi peluh dengan menyertai permainan tradisional yang semakin dilupai generasi sekarang.

Permainan yang ditampilkan ialah terompah gergasi, teng teng, galah panjang, hula hoop dan tarik tali sememangnya mengujakan.

Ternyata semua yang terbabit baik wakil media mahupun artis yang menyertainya begitu teruja dapat bermain permainan yang sudah lama dilupakan.

Aksi lucu dan gelak ketawa sentiasa mengiringi acara yang dijalankan. Biarpun dibahagikan kepada dua kumpulan yang memaksa mereka mencari kemenangan, itu bukanlah alasan untuk bersantai dalam acara yang dijalankan.

Nampak macam senang tetapi susah sebenarnya untuk bermain permainan ini kerana memerlukan kreativiti yang tinggi setiap peserta.

Biarpun cuaca agak panas, semuanya ‘sporting’ mengambil bahagian dari awal sehingga akhir.

Sememangnya keseronokan menyertai permainan begini sukar digambarkan. Bahkan empat artis ini menyatakan kesudian untuk menjayakan lagi program begini sekiranya diundang.

Mia yang juga duta Tonton mengakui teruja kerana sudah lama tidak bermain permainan tradisional ini.

“Pertamanya saya gembira kerana terpilih jadi duta Tonton. Kalau ikutkan ramai lagi yang layak tapi inilah yang dikatakan rezeki saya. Saya juga mempunyai program di Tonton iaitu Hijab Chic dan sambutan yang diterima daripada peminat juga amat menggalakkan,” katanya.

Mia mengakui menyukai pengisian acara yang dianjurkan serta usaha Tonton menggandingkan artis dan media dalam permainan yang disediakan.

“Pengalaman menyertai permainan tradisional bersama wakil media sangat menyeronokkan kerana bukan mudah untuk kami luangkan masa bersama. Ini peluang untuk kami mengeratkan hubungan sesama sendiri dan saya sokong kalau ia dianjurkan lagi,” katanya.

Saharul yang turut terpilih sebagai duta turut senada dengan Mia apabila menyokong penganjuran sebegini diteruskan.

Azrel dan Ruhainies pula berkata, program ini ada kelainannya kerana mendekatkan mereka dengan wartawan.

“Selalunya kami hanya bermesra dengan peminat tetapi di sini kami beramah mesra dengan wakil media yang dibawa dari Kuala Lumpur. Saya tak pernah main permainan galah panjang sebelum ini tetapi sangat seronok apabila dapat menyertainya bersama wakil media.

“Walaupun jadual sangat padat, kami berdua sangat bersyukur dapat terbabit dalam program begini. Kami sangat gembira. Kalau sekiranya ada lagi program begini, kami pasti tak lepaskan peluang menyertainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:50 AM