PEMAIN THT  Mohd Fitri Saari (dua kiri) diasak pemain Maybank Mohamad Syafiq Mohamed Zain (kanan) di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam.
PEMAIN THT Mohd Fitri Saari (dua kiri) diasak pemain Maybank Mohamad Syafiq Mohamed Zain (kanan) di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Hasrat untuk menyaksikan pertembungan sengit membabitkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Sapura meleset selepas skuad bimbingan Muhammad Harun Al-Rashid Samri tidak berdepan masalah menewaskan Sapura 5-2 pada aksi kedua saingan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) semalam.

Meskipun melakar kemenangan meyakinkan, Muhammad Harun enggan terlalu menabik dada dengan kejayaan barisan pemainnya itu selepas mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT), minggu lalu.

“Lima gol tidak boleh dianggap jaringan besar. Tapi jumlah gol itu membantu kami memastikan lawan tidak dapat bangkit semula.

“Kami bernasib baik kerana memperoleh gol awal. Harap selepas ini tidak ada lagi gol mudah diberikan kepada pihak lawan,” katanya.

Tonggak import Muhammad Umar Butta meletakkan KLHC di depan seawal minit kedua sebelum Ahmad Kazamirul Nasiruddin menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit kemudian.

Sapura memperoleh gol pertama menerusi Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin pada minit ke-19 sebelum kelekaan barisan pertahanan membolehkan KLHC menjarakkan kedudukan 3-1 hasil jaringan Mohd Syamim Mohd Yusof.

Muhammad Noor Faeez Ibrahim menyumbang gol keempat minit ke-22 tetapi Sapura cuba bangkit menghidup sisa-sisa perjuangan dengan gol kedua daripada pukulan sudut penalti Mohd Zulhairi Hashim pada minit ke-43.

Muhammad Rashid Baharom memastikan tiga mata penuh milik KLHC dengan gol kelima minit ke-53.

Sementara itu, di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu Hockey Team (THT) menebus kehampaan tewas kepada KLHC pada saingan Piala Sumbangsih dengan membelasah Maybank 5-1 semalam.

Gol THT diperoleh menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (m-28), Jivan Mohan (m-40), Jang Jonghyun (m-46, 51) dan Muhamad Amirul Mirza Rozi (m-60).

Gol sagu hati Maybank yang juga jaringan pembukaan dihasilkan menerusi Hafifi Hafiz Hanafi pada minit ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:04 AM