KAORI (kiri) mengasak Valeriia ketika aksi final.
KAORI (kiri) mengasak Valeriia ketika aksi final.
AFP

Rio de Janeiro: Kaori Icho melakar sejarah Olimpik ketika Jepun merangkul tiga pingat emas gusti wanita di Rio de Janeiro semalam.

Kaori menjadi wanita pertama dalam mana-mana sukan memenangi empat emas individu dalam empat temasya selepas mengalahkan wakil Russia Valeriia Koblova Zholobova bagi acara gaya bebas wanita 58kg final.

Kaori kini sebaris dengan lima atlet lelaki yang pernah memenangi emas acara individu dalam empat Olimpik berturut-turut.

Perenang Michael Phelps dan atlet olahraga Carl Lewis dan Al Oerter masing-masing meraih emas acara individu dalam empat temasya berturut-turut.

Pelayar Ben Ainslie dan Paul Elvstrom turut memenangi empat emas individu berturut-turut tapi dalam kelas berlainan.

Kaori, 32, memenangi tiga emas sebelum ini pada 2004, 2008 dan 2012 dalam kategori 63kg.

Juara dunia 10 kali itu meraih mata di hujung pertarungan untuk mengatasi lawan dari Russia yang berusia 23 tahun.

“Lawan cuba menjatuhkan saya di akhir pertarungan jadi saya fikir itu peluang terakhir saya untuk mengutip mara,” katanya. “Saya gembira kerana ia berhasil.”

Drama turut berlaku ketika Sara Dosho dan Eri Tosaka mencatat kemenangan.

Juara dunia tiga kali Eri memastikan keceriaan buat Jepun di Carioca Arena selepas bangkit mengalahkan pemenang perak 2012 Mariya Stadnyk dari Azerbaijan dengan mendapat dua mata pada saat akhir.

“Saya kekal fokus dalam pertarungan itu dan saya mahu meraih kemenangan jadi saya terus berusaha,” kata Eri.

Sara memenangi emas dalam penampilan pertama di Olimpik selepas mengejutkan juara Olimpik dan Dunia Natalia Vorobeva dari Russia pada saingan final 69kg.

Sara memungut dua mata pada minit akhir untuk menyamakan mata 2-2 dan memenangi perlawanan menerusi keputusan pengadil.

“Ia bukan strategi kami untuk menang seperti ini, bangkit pada saat-saat akhir,” kata atlet Jepun itu.

“Saya tidak mahu mengalah dan saya mahu meyakinkan diri supaya tidak berputus asa.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 10:29 AM