Rio de Janeiro: Bintang gimnastik Jepun Kohei Uchimura (gambar) yang juga juara dunia individu keseluruhan dan Olimpik memulakan misinya untuk memburu kilauan emas di Rio hari ini.

‘King Kohei’ yang menguasai acara keseluruhan individu sejak 2009, memenangi gelaran keenam berturut-turut tahun lalu dengan 19 pingat kejohanan dunia, 10 daripadanya pingat emas dan menjadi pilihan utama untuk kembali menyerlah di Rio.

Gimnas berusia 27 tahun itu akan memulakan misi mempertahankan gelaran keseluruhan pada sesi kelayakan lelaki hari ini dengan sasaran utamanya turut membawa Jepun menjulang pingat emas selepas memenangi pingat perak pada 2008 dan 2012.

Pingat emas kedua dalam acara keseluruhan akan menjadikannya atlet pertama dengan pencapaian seumpamanya selepas rakan senegara Sawao Kato pada 1972.

Pingat emas berpasukan Olimpik menjadi satu-satunya gelaran yang masih belum dimiliki Uchimura ketika China muncul juara dua kali.

Uchimura turut memenangi pingat perak Olimpik dalam acara senaman lantai pada Olimpik London 2012, selain memenangi gelaran dunia dalam acara palang bertingkat dan palang sejajar serta mungkin menambah koleksi pingat Olimpik kepada lima, satu emas dan empat perak daripada dua edisi Olimpik sebelumnya.

Pencabar Uchimura dalam acara keseluruhan termasuklah atlet Cuba Manrique Larduet, 20, yang mencipta kejutan dengan memenangi pingat perak acara keseluruhan pada kejohanan dunia tahun lalu.

Gimnas China Deng Shudi memenangi pingat gangsa.

Cabaran turut diberikan gimnas Jerman Marcel Nguyen dan Danell Leyva dari Amerika Syarikat, pemenang perak dan gangsa acara keseluruhan pada Olimpik London 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 6:48 AM