KAPAL selam SMD Quessant Agosta 70 kini dijadikan muzium.
KAPAL selam SMD Quessant Agosta 70 kini dijadikan muzium.
RUANG pengendali mesin di dalam kapal selam SMD Ouessant Agosta 70.
RUANG pengendali mesin di dalam kapal selam SMD Ouessant Agosta 70.
RUANG pelancar torpedo.
RUANG pelancar torpedo.
LALUAN di dalam kapal selam yang sempit.
LALUAN di dalam kapal selam yang sempit.
RUANG tidur kru yang terhad.
RUANG tidur kru yang terhad.
RUANG navigasi yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama kapal selam.
RUANG navigasi yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama kapal selam.
SISTEM komputer turut digunakan.
SISTEM komputer turut digunakan.
Rodly Fadly


Ketika zaman kanak-kanak dulu, antara rancangan televisyen kegemaran penulis ialah ‘Voyage To The Bottom Of The Sea’, siri sains fiksyen yang mengisahkan kehidupan anggota marin di dalam kapal selam yang berada 500 kaki di dasar laut.

Setiap kali menonton siri itu, penulis sering berangan-angan alangkah seronoknya jika berpeluang berada di dalam kapal selam itu.

Tidak sangka, angan-angan itu menjadi kenyataan baru-baru ini apabila berkesempatan menaiki kapal selam SMD Quessant Agosta 70 dari Perancis yang pernah digunakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Walaupun tidak menyelam di dasar laut, sebaliknya hanya ‘berlabuh’ statik di Dataran 1Malaysia Klebang, Melaka, pengalaman meneroka di dalam Muzium Kapal Selam sepanjang 67.57 meter (m), 6.5m lebar dan 11.75m tinggi serta seberat 1,200 tan itu tetap sesuatu yang menarik.

Ia memberi gambaran lebih jelas bagaimana keadaan di dalam kapal selam yang selama ini hanya ditonton melalui siri sains fiksyen atau rancangan dokumentari televisyen.

Malah, secara tidak langsung ia memberi kefahaman kepada kita bagaimana kehidupan sebenar mereka yang bertugas di dalam kapal selam ini.

Memasuki kapal selam itu, kita seolah-olah berada dalam kilang industri berat kerana hampir keseluruhan komponen di dalamnya berasaskan besi.

Lorong untuk berjalan agak sempit sehingga sukar untuk berselisih. Jika anda bersaiz XXL, ia mungkin lebih menyukarkan pergerakan.

Di bahagian hadapan kapal selam itu, terdapat ruang pelancar torpedo dengan 12 ruang untuk menyimpan peluru berpandu.

Meninjau lebih jauh ke dalam perut kapal selam itu, pengunjung dapat melihat tempat tidur untuk kru yang serba ringkas seperti dorm asrama sekolah.

Di dalam ruang yang terhad itu juga terdapat meja makan untuk kru. Malah, bilik tidur untuk pegawai memerintah yang dianggap lebih selesa berbanding tempat tidur kru juga tidak menggambarkan keselesaan dalam erti kata sebenar.

Cuma yang membezakan mereka ialah sesuai dengan statusnya, pegawai memerintah tidak berkongsi ruang tidur dengan kru.

Bagi kebanyakan kita yang selama ini selesa tidur di bilik yang besar, berhawa dingin serta di atas tilam empuk, sudah tentu melihat keadaan tempat tidur sebegini sangat menyesakkan nafas dan tidak selesa.

Namun, itulah realiti kehidupan anggota TLDM yang menjadi kru kapal selam berkenaan terpaksa mengetepikan segala keselesaan demi mempertahankan negara.

Melihat situasi ini, ia mencetuskan kesedaran betapa selama ini anggota TLDM yang mengawal perairan negara melakukan pengorbanan sangat besar bagi memastikan rakyat hidup selesa.

Terdapat juga ruang pengemudi, komputer, sistem radar serta navigasi yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama kapal tersebut.

Sejujurnya, melihat segala peralatan ini, penulis bagai tikus melihat besi kerana tidak memahami sepenuhnya bagaimana kapal selam ini dikendalikan.

Walaupun terdapat informasi disediakan sama ada di dalam mahupun di luar kapal, namun bagi pengunjung biasa ia tidak memadai.

Alangkah baiknya jika Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang bertanggungjawab ke atas projek ini menyediakan seorang pegawai yang mampu memberi penerangan lebih terperinci kepada pengunjung.

Muzium Kapal Selam ini menjadi antara aset pelancongan negeri Melaka sejak mula beroperasi pada Disember 2012 lalu. Dengan harga tiket RM3 untuk dewasa dan RM1 (kanak-kanak), ia menjadi destinasi pilihan keluarga bila berkunjung ke negeri itu.

Ia muzium kapal selam yang ketujuh di dunia selain di England, Australia, Jerman, Russia, India dan Jepun.

SMD Quessant Agosta 70 asalnya adalah aset TLDM yang digunakan sebagai pusat latihan kepada anggotanya daripada tahun 2005 hingga 2009. Sebelum itu, ia digunakan Tentera Laut Perancis sehingga 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:27 AM