Oleh Abd Rahman Adam

Miri: Seorang lelaki maut dalam keadaan ngeri apabila lehernya hampir putus akibat terkena kabel tangki yang putus ketika melakukan kerja memunggah pasir di Sungai Tujuh, Kuala Baram, di sini, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa, Kumbang Kirak, 58 maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa sedang memunggah tangki berisi pasir daripada lori berkenaan dan tiba-tiba berlaku mendapan tanah menyebabkan kenderaan itu tidak stabil.

Sumber berkata, apabila satu tayar lori mendap ke dalam tanah, kabel besi yang disangkutkan pada tangki terputus dan terkena pada leher mangsa.

Katanya, apabila kabel terputus, tangki yang berisi pasir turut menghempap mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee, berkata pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

Katanya, pasukan paramedik mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 8:08 PM