Tertuduh dibawa keluar daripada mahkamah. FOTO Zuhairi Zuber.
Tertuduh dibawa keluar daripada mahkamah. FOTO Zuhairi Zuber.
Nur Saliawati Salberi


SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas tuduhan mencabul doktor pelatih pada awal September lalu.

Tertuduh, Wan Mohd Faizal Wan Chik, 37, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang perempuan berusia 26 tahun dengan cara meraba kemaluan mangsa dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di zon kuning Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, 6.45 petang, 3 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memberitahu mahkamah, dia menghidap masalah mental dan pernah dirawat di wad psikiatrik selain pernah dibekalkan ubat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria kemudian memohon kepada mahkamah supaya pengakuan tertuduh tidak direkodkan dan dia perlu dirujuk ke Hospital Permai, Johor untuk pemeriksaan kesihatan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan dan menetapkan 6 November ini untuk serahan laporan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 5:58 PM