GOKHAN (berbatik biru) bersama wakil Maxis di hadapan Pusat Internet Kampung Taee.
GOKHAN (berbatik biru) bersama wakil Maxis di hadapan Pusat Internet Kampung Taee.
Fazurawati Che Lah


PROGRAM eKelas Maxis berjaya memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar seluruh negara bagi meningkatkan prestasi pembelajaran melalui alternatif digital.

eKelas ialah program komuniti perdana Maxis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang dijalankan di pusat Internet komuniti luar bandar yang berfungsi sebagai hab digital untuk membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, program itu adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sesi sekolah untuk pelajar dari tahun enam hingga tingkatan lima.

“Program ini membawa pengalaman belajar yang menyeronokkan dengan kandungan pembelajaran berkualiti selaras sukatan pelajaran sekolah.

“Memberi tumpuan kepada sains, matematik dan bahasa Inggeris, pelajar didedahkan kepada pembelajaran melalui kombinasi tutorial secara langsung, projek berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital, selain sesi motivasi yang dikendalikan bakat muda Maxis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Gawai yang diadakan di Pusat Internet Kampung Taee, Serian, Sarawak, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Kampung Taee, Jacques Kantuh.

Sempena program itu, pelajar dari Kampung Taee, John Mackwin, 14, mendapat tempat pertama bagi kategori tingkatan dua pada Pertandingan Drama Bahasa Inggeris eKelas, sekali gus mengalahkan lebih 400 orang pelajar dari 72 pusat Internet yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Pelajar eKelas di Pusat Internet Kampung Taee antara kumpulan paling aktif dan sering membabitkan diri dalam aktiviti anjuran eKelas.

Selain memenangi tempat pertama dan kedua bagi kategori tingkatan dua pada Pertandingan Drama Bahasa Inggeris eKelas, pelajar di situ juga memenangi pertandingan hiasan perayaan.

Pada tahun lalu, lapan pelajar dari Kampung Taee berpeluang menyertai Kem Cuti Sekolah eKelas yang diadakan di Kuala Lumpur.

Gokhan dalam perkembangan sama berkata, dengan memanfaatkan teknologi mereka berupaya menghubungkan pelajar dengan guru berpengalaman menerusi portal eKelas, sekali gus memberi akses kepada kandungan pembelajaran berkualiti.

“Portal ini membuka peluang kepada pelajar untuk terus belajar selepas waktu sekolah.

“Melalui teknik pembelajaran yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bagi setiap tutorial membolehkan pelajar bekerja dalam kumpulan dan sama-sama menerokai perkara baharu, selain buku,” katanya.

Beliau turut berbangga apabila Kampung Taee adalah contoh terbaik apabila komuniti mengambil peluang memanfaatkan kemudahan teknologi yang ditawarkan kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:44 AM