PETIKAN daripada buku peraturan SUKMA Sarawak.
PETIKAN daripada buku peraturan SUKMA Sarawak.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Biarpun sudah dua minggu Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak melabuhkan tirai, masih ada cerita yang tidak sedap didengar.

Keputusan juri membenarkan dua pemenang berkongsi pingat dalam beberapa acara gimnastik artistik SUKMA Sarawak mula menjadi persoalan dan dikatakan sudah dibangkitkan beberapa pihak.

Berdasarkan buku peraturan temasya sukan itu yang dikeluarkan pihak penganjur mengikut peraturan 1.3 menyebut tidak ada keputusan seri dalam Pertandingan III.

Bagaimanapun apa yang berlaku, tiga acara artistik individu menyaksikan atlet berkongsi pingat emas dan gangsa.

Dalam acara final senaman lantai individu, atlet Terengganu Zul Bahrin Mat Asri berkongsi emas bersama Azroy Amierol Jaafar dari Pahang yang turut berkongsi gangsa dengan Teoh Chuen Loong (Pulau Pinang) dalam acara kekuda pelana.

Jerimiah Loo (Pulau Pinang) dan Chau Jern Rong (Selangor) pula berkongsi emas acara gelang.

Menurut seorang pegawai yang terbabit dalam pertandingan itu, beliau pelik apabila pihak juri dan juga penganjur tuan rumah tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Di dalam buku peraturan sudah tertulis tiada atlet yang akan berkongsi pingat kerana apabila mereka berkongsi mata, pemenang akan diputuskan dengan menilai jumlah kesalahan dilakukan dalam rutin atlet terbabit.

“Saya pelik kenapa perkara ini dibenarkan, atas sebab apa, sedangkan peraturan ditulis tidak boleh diubah dan kenapa ia hanya membabitkan acara lelaki?

“Apa yang saya tahu, isu ini sudah dibangkitkan pengurus pasukan dari negeri lain selepas kejohanan berakhir tapi tidak tahu apa keputusan pihak penganjur mahupun MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia).

“Bukan isu ini saja, malah ada juga sangsi dengan keputusan juri dalam acara lelaki yang dianggap tidak adil,”’ katanya yang enggan mendedahkan namanya kepada Arena Metro semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:03 AM