GURU mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan mencuri barangan bernilai lebih RM243 di pasar raya besar, April lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
GURU mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan mencuri barangan bernilai lebih RM243 di pasar raya besar, April lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Guru sekolah menengah mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan mencuri barangan bernilai lebih RM243 termasuk lampin pakai buang di sebuah pasar raya besar, April lalu.

Guru berusia 38 tahun itu membuat pengakuan di hadapan Majistret S Punitha terhadap pertuduhan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK).

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri barang berupa dua unit lampin pakai buang jenama Mamy Poko Extra Dry, sepaket filet ikan salmon seberat 0.512 kilogram (kg), sepaket filet ikan salmon seberat 0.432kg, sepaket ikan kerapu (0.54kg), dan sepaket ikan merah (0.648kg) dari dalam bangunan milik pasar raya yang kesemuanya bernilai RM243.47.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pasaraya AEON Mall Klebang, Chemor, jam 7.25 malam, 17 April lalu.

Sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam Elaine Foong.

Fatin Hosna menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh namun Elaine meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM3,000 mengambil kira tertuduh yang menyara tiga anak kecil berusia 3 hingga 7 tahun selain menjaga bapa yang menghidap strok.

Selain itu, Elaine turut meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan anak guamnya yang mengalami penyakit berkaitan psikiatri iaitu kerisauan melampau (anxiety) serta memerlukan bekalan ubat bagi penyakit darah tinggi dari hospital.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin serta menetapkan tarikh 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 12:42 PM