Apabila anak mula bertutur biarpun hanya sekadar perkataan pendek dan kurang jelas, ibu bapa pasti berasa sangat teruja hingga merakamnya untuk disimpan sebagai detik indah dalam memori mereka.

Ia memang antara saat menggembirakan apabila anak melangkah dari satu fasa ke fasa lain dan menunjukkan kemajuan dalam perkembangan tumbesaran mereka.

Bagaimanapun, kadang­kala ibu bapa mungkin sedikit kecewa ataupun sedih sekiranya anak mereka mengalami masalah pertuturan sehingga apa yang diperkatakan sukar difahami.

Menurut Pakar Perunding Perkembangan Kanak-Kanak Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Raja Juanita Raja Lope, sebutan pertama anak antara detik gembira yang akan dikenang sepanjang masa.

Penggunaan bahasa adalah cara komunikasi khas manusia dan skil itu jelas dilihat berkembang ketika kecil, malah usia kanak-kanak antara dua hingga lima tahun dikenali juga sebagai ‘umur berkomunikasi’.

“Bayi dari usia enam bulan akan membunyikan ‘bababa’ atau ‘mamama’, seolah-olah cuba membalas apabila ibu bapa bercakap.

“Pada umur satu hingga dua tahun, banyak perkataan sepatah yang akan disebut dan difahami. Kanak-kanak berusia dua ke tiga tahun bercakap dalam frasa dua ke tiga perkataan dan daripada tiga tahun kanak-kanak biasanya bertutur dalam ayat dan boleh bertanya dan menjawab soalan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr Raja Juanita, kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada kanak-kanak berumur dua tahun tidak bertutur mengikut apa yang dijangkakan bagi usia mereka.

Katanya, kebanyakan kanak-kanak memang lambat bercakap dan 50 hingga 60 peratus daripadanya akan mahir bertutur apabila mencapai umur empat ke lima tahun.

“Namun, antara lima hingga lapan peratus daripada kanak-kanak mempunyai kecelaruan bahasa dan akan terus mengalami masalah bahasa sehingga ke alam persekolahan atau dewasa.

“Kecelaruan bahasa apabila seseorang kanak-kanak mempunyai kesukaran pertuturan dan pemahaman. Kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang gangguan perkembangan lain, contohnya gangguan spektrum autisme, ketidakupayaan intelektual atau kecacatan fizikal seperti masalah pendengaran atau palsi serebral manakala kanak-kanak lelaki lebih mudah terjejas,” katanya.

Pengaruh genetik, faktor persekitaran

Menurutnya, genetik ialah satu faktor yang menyebabkan masalah kecelaruan bahasa. Sekitar 26 hingga 45 peratus daripada individu dengan kecelaruan ini mempunyai ahli keluarga atau waris terdekat yang mempunyai masalah membaca, menulis serta gangguan bahasa.

Dr Raja Juanita berkata, kajian radiologi membuktikan otak kanak-kanak yang mengalami kecelaruan itu memproses sesuatu tugasan yang membabitkan bahasa secara berbeza.

Kemungkinan pengaruh genetik serta gabungan faktor persekitaran menyebabkan perbezaan dalam fungsi otak semasa pemprosesan bahasa.

“Ibu bapa mungkin perasan anak mereka tidak menyebut banyak perkataan atau tidak memahami arahan berbanding kanak-kanak seusia dengannya.

“Kadang-kadang penjaga di taska atau guru tadika menyedari terdapat masalah bahasa. Kanak-kanak sebegini seharusnya dibawa berjumpa pakar pediatrik atau pakar patologi pertuturan dan bahasa.

“Pakar pediatrik akan bertanya banyak soalan mengenai perkembangan dan latar belakang perubatan kanak-kanak itu serta melakukan pemeriksaan fizikal. Doktor akan menilai tahap perkembangan keseluruhan termasuk kemahiran bahasa. Pakar patologi pertuturan dan bahasa akan menggunakan alat penilaian yang khusus untuk bahasa,” katanya.

Menurut Dr Raja Juanita, kanak- kanak berumur dua tahun yang mempunyai pemahaman mengikut umur tetapi mempunyai pertuturan yang agak kurang boleh dipantau oleh pakar.

Bagaimanapun, kata­nya, anak yang mempunyai masalah lebih ketara perlu menerima intervensi atau pemulihan yang boleh dilakukan di rumah, tadika, sekolah dan dengan bantuan ahli terapi pertuturan dan bahasa.

Kajian menunjukkan ibu bapa yang terlatih dan bermotivasi juga berkesan dalam menggalakkan perkembangan bahasa anak mereka.

“Kesimpulannya, kajian menunjukkan intervensi awal penting untuk menyokong anak yang mempunyai masalah pertuturan dan kefahaman. Kesedaran antara ibu bapa, penjaga dan guru penting untuk memastikan tindakan yang sewajarnya diambil,” katanya.

Prinsip umum untuk menggalakkan pemahaman bahasa pada kanak-kanak:

- Gunakan minat atau perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak untuk berkomunikasi. Bersikap positif apabila kanak-kanak menjawab .

- Permainan perkataan berirama - “Perkataan mana bunyinya berirama sama dengan bola?”

- Menyanyi berserta aksi tindakan - contohnya “Ini kepala dan bahu, ini pula lutut dan jari kaki.” Atau “Bila anda gembira tepuk tangan.” – Faizatul Farlin Farush Khan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 5:45 AM