BANTU anak pelat berkomunikasi dengan kerap.
BANTU anak pelat berkomunikasi dengan kerap.
BERI sokongan kepada anak pelat untuk memperbetulkan sebutan.
BERI sokongan kepada anak pelat untuk memperbetulkan sebutan.
ANAK pelat masih boleh dibantu.
ANAK pelat masih boleh dibantu.
Intan Mas Ayu Shahimi


Berapa ramai antara ibu bapa hari ini mengambil peduli masalah pertuturan anak-anak? Sibuk bekerja, terikat dengan pelbagai komitmen luar, penat melakukan tugasan di rumah, semua ini kerap dijadikan alasan apabila bercerita mengenai perkembangan si kecil yang masih pelat.

Tambahan pula pada zaman serba canggih ini, majoriti ibu bapa mudah meletakkan harapan tinggi untuk melihat anak berjaya menguasai ilmu seiring perkembangan teknologi.

Itu belum termasuk mereka berlumba-lumba merancang jumlah bahasa yang perlu dikuasai anak. Bayangkan jika bahasa Inggeris dan Melayu digunakan secara berselang-seli ketika berkomunikasi dengan anak kecil yang mempunyai masalah pertuturan, tentu ia lebih banyak memberi impak buruk berbanding kebaikan.

Usah lupa bahawa pada awal perjalanan si kecil, kebolehan berkomunikasi adalah asas paling penting. Sekiranya anak diketahui pelat atau lambat bercakap, cuba fokus kepada bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.

PERKEMBANGAN BAHASA

Sedar atau tidak, komunikasi sebenarnya bermula sejak lahir. Menurut kajian, usia bayi hingga tiga tahun adalah peringkat paling kritikal untuk manusia mempelajari bahasa.

Sekiranya tempoh ini diganggu dengan pelbagai unsur mengelirukan, ia mungkin boleh memberi kesan terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan anak kecil pada masa depan.

Jika diperhatikan, sebaik dilahirkan ke dunia, bayi akan menangis. Selepas ditenangkan, bayi mungkin akan kembali menangis meminta supaya disusukan. Komunikasi ini kemudiannya akan terus berkembang seiring usia, kematangan dan tumbesaran otak bayi. Mereka juga akan mula melihat dan mendengar setiap yang berlaku di sekeliling.

Bagi bayi normal, mereka biasanya cenderung bertindak balas terhadap rangsangan ibu bapa dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran. Selepas itu, barulah muncul bebelan seperti baba, mama dan dada tanpa maksud tertentu.

Apabila usia mencecah setahun, kanak-kanak sepatutnya sudah mampu meniru suku kata, menguasai antara 10 hingga 25 perkataan, dapat menunjukkan bahagian badan asas, menggunakan kata sosial ‘hello’ dan ‘bye-bye’ serta memanggil nama ahli keluarga terdekat.

PELAT DAN LAMBAT BERCAKAP

Asal menyebut pelat, ramai yang tersilap anggap kelompok ini mengalami masalah lambat bercakap. Menurut Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Ruby Izyan Atika Abu Bakar, pelat dan lambat bercakap adalah dua masalah berbeza yang perlu ditangani dengan dua kaedah berlainan.

“Pelat merangkumi kesalahan dalam sebutan yang kerap terjadi kepada kanak-kanak pada peringkat umur tertentu. Dalam erti kata lain, pelat berlaku berikutan masalah penghasilan bunyi (artikulasi) dan juga pola bunyi (fonologi).

“Berikutan itu, sebutan perkataan bagi kanak-kanak ini akan kedengaran tidak sama dengan orang dewasa, malah mungkin lebih sukar difahami,” katanya.

Jelas Ruby, sehingga ke hari ini, masih ramai ibu bapa yang masih tidak memahami apa sebenarnya pelat dan risiko jangka panjang yang boleh dihadapi kanak-kanak sekiranya masalah ini berlarutan.

“Ia bukan sekadar masalah pelat. Ia mungkin berlaku disebabkan masalah perkembangan atau struktur dalam mulut kanak-kanak itu sendiri. Sebab itu ibu bapa perlu peka dengan masalah yang dihadapi anak-anak.

“Jika anak sudah mencapai usia dua tahun dan mengalami masalah lambat bertutur, rujuklah kepada hospital atau pakar terapi pertuturan untuk bantuan. Namun jika anak boleh bertutur, tetapi masih pelat sehingga usianya mencecah empat tahun, rujuklah ke pakar atau hospital berdekatan.

“Pelat berkemungkinan berlaku disebabkan umur dan peringkat bahasa serta pertuturan masih rendah. Dalam kebanyakan kes, pelat berlaku disebabkan masalah sumbing, lidah pendek atau saiz lidah lebih besar berbanding rongga mulut (kerap berlaku kepada kanak-kanak sindrom Down). Ini bermakna, pelat mempunyai punca yang perlu diselidiki sebelum dirawat,” katanya.

USAH PAKSA

Melihat senario kini, Ruby berkata, ada segelintir ibu bapa mengambil pendekatan salah dengan memaksa anak pelat memperbaiki sebutan menerusi pelbagai gaya serta ragam didikan yang tidak masuk akal.

Antara yang tular di laman Facebook, baru-baru ini mencadangkan supaya menyuruh murid bergayut pada palang sambil menyebut perkataan yang sukar. Kaedah itu dikatakan berpotensi memaksa murid menyebut perkataan dengan betul.

“Sebaran sedemikian tidak betul. Buatlah sesuatu berlandaskan ilmu, bukan ikut-ikutan. Kenal pasti dahulu punca mengapa anak pelat dan rujuk kepada pakar berkaitan untuk bantuan.

“Jika anak pelat disebabkan masalah struktur mulut, paksaan sedemikian tidak mungkin menyelesaikan masalah,” katanya.

Kata Ruby, sudah menjadi fitrah untuk kanak-kanak mengalami masalah pelat sepanjang proses perkembangan mereka.

“Apabila mencapai usia empat tahun (mengikut kiraan tarikh lahir), mereka sepatutnya sudah menguasai pertuturan antara 98 hingga 99 peratus. Ketika ini, setiap perkataan yang disebut mudah difahami orang dewasa.

“Kecuali huruf R. Dalam masyarakat Melayu, kanak-kanak biasanya lambat sedikit menguasai sebutan huruf R,” katanya.

BANTU SEGERA

Cuba perhatikan anak-anak di rumah. Adakah mereka masih pelat ketika usia hampir menjangkau empat tahun? Bantulah anak-anak dengan komunikasi yang lebih kerap dan dalam sebutan lebih jelas.

Selagi belum mencapai usia tujuh tahun, sokongan dan bantuan ibu bapa serta pemerhatian doktor secara berkala masih boleh mengubah kualiti pertuturan si kecil.

“Ibu bapa boleh bantu anak dengan mendapatkan bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Rangsang mereka untuk menyebut perkataan dengan betul dan beri ganjaran yang sewajarnya.

“Satu perkara yang perlu diketahui ibu bapa bahawa ada kemungkinan anak pelat kerana kurangnya tumpuan ketika dia mendengar orang lain bercakap.

Jadi, amalkan komunikasi secara bersemuka supaya anak dapat ‘menangkap’ setiap butir bicara dengan tepat,” katanya.

TIP UNTUK ANAK PELAT

1. Kenal pasti bunyi yang tidak dapat disebut dengan baik. Contoh kakak disebut tatak. Jadi, anak pelat K dan menggantikannya dengan T.

2. Ajak anak untuk sama-sama membetulkan kedudukan lidah mengikut bunyi yang anda sasarkan.

3. Latih daripada fonem terkecil, perkataan, frasa dan seterusnya ayat. Latih melalui aktiviti bergambar, penggunaan buku cerita dan seterusnya spontan.

4. Pastikan anda pilih perkataan berdasarkan bunyi yang anda sasarkan. Contohnya K, senarainya adalah kakak, kaki, koko, kuku, kopi, kerusi, ‘car’, cat, kambing, ‘cow’ dan seterusnya.

5. Latih anak dalam keadaan duduk di kerusi meja.

6. Jangan bercakap pelat dengan anak.

7. Jangan meniru anak bercakap pelat.

8. Jika anak menyebut perkataan dalam pelat, ulang kembali perkataan disebut dengan betul dan jelas.

9. Banyakkan aktiviti kamus bergambar.

10. Ajak anak tiru pergerakan di depan cermin seperti ketap bibir, memuncungkan bibir dan sebagainya. Ini untuk menggalakkan anak fokus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 11:40 AM