ZUMBA Parti Pantai Terbesar bakal tampilkan pengajar zumba antarabangsa dari Columbia dan Australia.
ZUMBA Parti Pantai Terbesar bakal tampilkan pengajar zumba antarabangsa dari Columbia dan Australia.
Siti Nadirah Hafidzin

Adakah anda seorang yang gemar berzumba dan mahu mencuba untuk melakukan senaman zumba di dalam air? Kalau biasanya anda berzumba bersama rakan, apa kata kali ini anda bawa keluarga dan bersenam dalam suasana lebih menyeronokkan.

Tidak tahu di mana hendak berzumba? Jangan risau kerana tahun ini Watsons sekali lagi menampilkan acara tahunannya Move Your Body ‘Zumba Parti Pantai Terbesar’ dengan bertemakan Glow In The Night Makes Way yang dijadualkan berlangsung 22 Oktober ini.

Dengan menampilkan pengajar zumba antarabangsa dari Columbia dan Australia, zumba dalam air ini bakal menjadi acara meriah di Sunway Lagoon Surf Beach.

Ia adalah satu kempen berinovatif dan menguatkan komuniti di sekeliling dengan menjalankan riadah sihat seisi keluarga dan rakan terdekat.

Tahun lalu, lebih 7,000 peserta menyertai aktiviti zumba terbesar di Malaysia yang diadakan di Pulau Pinang dan Watsons menyasarkan penyertaan melebihi tahun lalu dalam aktiviti zumba di dalam air yang lebih menyeronokkan ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Watsons Malaysia, Caryn Loh, seperti diketahui, Watsons sentiasa berusaha menjalankan kempen inovatif dalam memperkasakan kesihatan dan kecantikan setiap rakyat.

“Dalam usaha untuk mengekalkan slogan ‘Look Good, Feel Great’, kami menyeru setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia untuk menyertai acara mengujakan ini supaya kekal sihat dan cergas.

“Kami menjangkakan lebih ramai menyertai aktiviti zumba di dalam air yang akan memberi pengalaman berharga buat semua peserta,” katanya.

Menurutnya, bagi tahun ketiga berturut-turut, Watsons Move Your Body Zumba akan menjadi acara ikonik yang memberi satu pengalaman tidak ternilai apabila dapat berzumba bersama-sama tenaga pengajar zumba terkenal antarabangsa.

“Peserta boleh berzumba di dalam air dan di bawah sinaran cahaya waktu malam. Ia bukan saja satu kelainan dalam beriadah malah pada masa sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Pastinya ia sesuatu yang dinanti terutama bagi mengekalkan kesihatan dengan satu aktiviti menyeronokkan bersama-sama keluarga dan rakan,” ujarnya.

Peminat senaman zumba dan ahli VIP Watsons boleh mendapatkan tiket untuk bersama-sama menyertai acara parti pantai zumba terbesar pada harga RM59 bermula 28 Julai di semua kedai Watsons di Lembah Klang dan Seremban, Negeri Sembilan atau melakukan pembelian tiket secara dalam talian.

Harian Metro muncul sebagai akhbar rasmi bagi acara yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan itu dan ahli VIP Watsons serta pengguna boleh mendapatkan diskaun 20 peratus daripada harga tiket dengan membuat pembelian beberapa produk terpilih.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.watsons.com.my/moveyourbody

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 10:56 AM