Bakal jemaah haji kumpulan pertama KT3K yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas mengaminkan doa selepas mendengar taklimat yang diadakan di Pusat Konvokesyen Hotel Tabung Haji. FOTO Amran Hamid
Bakal jemaah haji kumpulan pertama KT3K yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas mengaminkan doa selepas mendengar taklimat yang diadakan di Pusat Konvokesyen Hotel Tabung Haji. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Kumpulan pertama KT3K jemaah haji bagi Stesen Berlepas Alor Setar seramai 150 daripada jumlah keseluruhannya 1,350 orang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas, di sini, 11.40 malam tadi.

Pengarah Operasi Stesen Berlepas Alor Setar Muhamad Hamdan Omar berkata, jemaah haji terbabit dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.45 tengah malam untuk proses serahan pasport sebelum berlepas ke Madinah pada 3 pagi esok.

"Semua jemaah haji dari stesen berlepas di sini (Alor Setar) akan diterbangkan ke KLIA menerusi sembilan jadual penerbangan bermula malam ini sehingga 10 Ogos sebelum disambung semula pada 26 dan 27 Ogos nanti.

"Bagi kumpulan kelapan dan kesembilan pada 26 serta 27 haribulan nanti semua jemaah haji dijangka akan dilepaskan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dengan berpakaian ihram untuk diterbangkan terus ke Jeddah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Pusat Konvensyen Hotel Tabung Haji, di sini, sebentar tadi.

Katanya, beliau berterima kasih dengan kerajaan negeri Kedah di atas kerjasama diberikan dalam memastikan urusan penghantaraan bakal jemaah haji bagi musim ini berjalan lancar.

"Terima kasih di atas penyediaan prasarana seperti hotel yang dosediakan pihak Tabung Haji, khemah untuk waris bakal jemaah dan kemudahan menjamu selera untuk keseluruhan waris serta petugas keselamatan... alhamdulillah segalanya berjalan lancar," katanya.

Pada masa sama, Muhamad Hamdan mengingatkan semua bakal jemaah haji supaya mengikut peraturan dan peka dengan waktu melapor diri bagi mengelakkan perkara tidak dingini berlaku.

Katanya, bakal jemaah juga diminta hadir sejam sehingga dua jam awal dari waktu ditetapkan bagi memudahkan urusan penyerahan lencana dan pelekat perumahan serta nombor pengangkutan di Tanah Suci berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 12:18 AM