Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, TH sedang giat membuat persediaan operasi haji di tanah air dan Tanah Suci bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji.

"Saya mengambil maklum mengenai beberapa sebaran daripada media tanah air dan Arab Saudi berkenaan perjalanan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H.

"Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal sudah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan normal baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Arab Saudi di media sosial memaklumkan hanya 60,000 jemaah dari seluruh dunia dibenarkan menunaikan ibadat haji yang bakal bermula pada 17 Julai depan.

Daripada jumlah itu, seramai 45,000 jemaah dari luar Arab Saudi manakala bakinya dikhususkan untuk jemaah tempatan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, TH sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah serta kursus asas.

Katanya, bermula Mac lalu, TH sudah menyarankan bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

"Ini bagi memenuhi prasyarat wajib yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi iaitu pengambilan vaksin Covid-19 sama ada Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna sahaja.

"Bakal jemaah haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal," katanya.

Beliau turut menasihati bakal jemaah haji bersabar dan membuat persiapan sebaiknya dari sudut ilmu, fizikal, spiritual dan mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19 supaya pelaksanaan ibadat haji di Tanah Suci berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:58 PM