ANTARA gambar yang dimuat naik Natalia ke Instagramnya. - Agensi
ANTARA gambar yang dimuat naik Natalia ke Instagramnya. - Agensi
Agensi

Warsaw: Menjadi popular di media sosial seperti Facebook atau Instagram amat mudah apabila anda artis atau atlit berjaya.

Begitu juga bagi mereka yang cantik atau kaya.

Bagaimanapun, bagi seorang gadis biasa berusia 20 tahun dari Warsaw, Poland, dia menjadi popular di media sosial hanya dengan memuat naik gambar tanpa menunjukkan wajahnya.

Popularitinya terbukti dengan pengikutnya yang berjumlah lebih 100,000 orang.

Lebih menarik lagi bagi Natalia Gutkiewicz, sepanjang tiga tahun menggunakan Instagram, dia hanya memuat naik 443 gambar - agak sedikit berbanding bintang Instagram lain.

Gambar yang dimuat naik hanyalah sebelah matanya, bibirnya, belakang kepala hingga tidak seorang pengikutnya tahu rupanya .

Dalam wawancara dengan akhbar Sepanyol, El Mundo, Natalia berkata: “Pengikut Instagram saya bertambah ramai kerana mereka menanti gambar saya berikutnya dengan menyangka saya akhirnya akan menunjukkan muka saya sepenuhnya. Minat terhadap akaun saya berkembang dari sehari ke sehari. Mereka menghabiskan masa hanya untuk mencari gambar dan ingin tahu bagaimana rupa saya,” kata Natalia.

Meskipun menjadi antara pengguna Instagram paling popular di Poland, Natalia masih tidak berminat untuk menjadi selebriti Internet yang dikenali.

“Tidak seorangpun pengikut saya tahu bagaimana rupa fizikal saya. Saya mahu keadaan itu berterusan,” kata wanita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 9:03 AM