GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Seorang lelaki warga Thailand dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,164.5 gram dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing membuat keputusan itu terhadap Sarawannee Pisitsakunwong, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah sebaliknya tertuduh hanya membuat penafian semata-mata.

Sarawannee yang bekerja sebagai tukang urut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak 2011 kelihatan gelisah dan sugul di kandang tertuduh ketika keputusan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan Sarawannee didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Pemeriksaan/Penumpang Bas/Pejalan Kaki Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada 28 April 2014 jam 3.40 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 12:46 PM