PENDUDUK melihat kesan darah perusuh yang terkorban. FOTO: Reuters
PENDUDUK melihat kesan darah perusuh yang terkorban. FOTO: Reuters
Reuters/AFP

BAGHDAD: Empat roket Katyusha dilancarkan ke pangkalan tentera Iraq bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, hari ini, mencederakan enam orang.

Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa mangsa tercedera terdiri daripada anggota Perkhidmatan Anti-Keganasan Iraq iaitu sebuah unit yang dilatih tentera Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan tentera, pasukan keselamatan menemui pelancar roket dan beberapa roket selepas melakukan siasatan di kawasan itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab di atas serangan berkenaan.

Reuters melaporkan, serangan itu adalah yang terbaru selepas kompleks ketenteraan itu di serang minggu lalu.

Khamis lalu, dua roket Katyusha dilancarkan mengena pangkalan udara Balad, tetapi tiada korban atau kerosakan dilaporkan akibat serangan itu.

Pangkalan Balad sebagai tuan rumah dan kontraktor AS yang terletak kira-kira 80 kilometer di utara Baghdad.

Selasa lalu, lima roket mendarat di pangkalan udara Ain Al-Asad yang menempatkan tentera AS di wilayah Anbar di barat Iraq namun tiada kecederaan dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 4:29 PM