TRUMP dilihat pada skrin di majlis penutup konvensyen Parti Republikan di Cleveland, semalam. - AFP
TRUMP dilihat pada skrin di majlis penutup konvensyen Parti Republikan di Cleveland, semalam. - AFP
AFP

Ohio: Donald Trump semalam menerima pencalonan Parti Republikan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat dan berjanji akan memulihkan keselamatan jika rakyat negara itu memilihnya dan menolak Hillary Clinton dalam pilihan raya 4 November depan.

Trump menerima pencalonan itu di depan 2,000 aktivis Parti Republikan di Cleveland.

Ucpannya yang penuh bersemangat pada hari keempat dan terakhir parti itu disambut dengan laungan ‘USA’ dan ‘Trump, Trump, Trump’ oleh penyokongnya.

Ahli perniagaan dan bintang rancangan realiti televisyen itu menggambarkan dirinya sebagai calon terbaik selain berazam memperjuangkan ‘golongan yang bekerja keras, tetapi tidak mampu bersuara.’

“Sayalah suara kamu,” katanya sambil berjanji akan mengembalikan kestabilan di Amerika Syarikat dan mewujudkan jutaan peluang pekerjaan serta kemewahan mencecah bertrilion dolar.

“Keganasan dan jenayah yang melanda negara kita hari ini akan dihapuskan tidak lama lagi.

“Mulai 20 Januari 2017 (tarikh dia akan mengangkat sumpah jawatan jika menang dalam pilihan raya presiden) ketenteraman akan dipulihkan,” katanya.

Dia turut mengulangi pendiriannya sepanjang kempen untuk mengharamkan kemasukan rakyat dari negara yang dikaitkan dengan keganasan, membina tembok di sempadan Mexico dan merundingkan semula syarat perniagaan dengan China.

Semuanya diterima bulat-bulat penyokong yang berdiri dan bertepuk tangan pada akhir ucapannya.

Ia ucapan utama pertama Trump kepada rakyat AS dan antara pemula proses pilihan raya presiden November ini.

Kajian yang dilakukan di seluruh negara mendapati bilionair dari New York itu hampir seiring dengan Hillary, bekas setiausaha negara yang berdepan kritikan hebat akibat skandal e-mel.

Hillary yang bakal menerima pencalonan Demokrat pada konvensyen parti itu minggu depan - digambarkan Trump sebagai korup, tidak berkemampuan dan tidak memahami isu semasa.

“Kematian, kemusnahan, keganasan dan kelemahan - semua itu hasil peninggalan Hillary sendiri,” katanya.

Trump menggambarkan dirinya syerif dan berkata bakal lawannya itu hanya wajar dimasukkan ke dalam penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 12:23 PM