TRUMP
TRUMP
Clinton
Clinton
Agensi

Washington: Senator Ted Cruz dan Bernie Sanders mencatatkan kemenenangan penting kelmarin dalam usaha mereka menjadi calon parti masing-masing dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat November depan.

Bagaimanapun, Donald Trump dan Hillary Clinton mencatatkan kemenangan lebih bermakna bagi mengekalkan diri masing-masing sebagai calon yang mendahului senarai parti.

Trump yang berusaha menjadi calon parti Republikan menang di Louisiana dan Kenctucky, negeri yang kaya dengan perwakilan, sementara Hillary menang dalam pemilihan Demokrat di Kentucky, sekali gus membolehkan mereka kekal menduduki tangga teratas parti masing-masing dalam persaingan untuk menggantikan Presiden Barack Obama.

Dalam undian memilih calon di lima negeri kelmarin, Cruz menang di Kansas dan Maine, sekali gus mengukuhkan dakwaan dia calon paling layak untuk menyekat Trump daripada mewakili Republikan pada pilihan raya Presiden pada 4 November depan.

Trump kini mendahului senarai Republikan selepas memenangi 12 daripada 19 negeri yang sudah mengundi sejak pengundian bermula di Iowa bulan lalu.

Sementara itu, dalam persaingan parti Demokrat, Sanders memenangi pemilihan di Kansas dan Nebraska, meningkatkan jumlah negeri yang dimenanginya kepada tujuh daripada 18 yang yang sudah menjalani pengundian.

Bagaimanapun, Hillary, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat dan bekas wanita pertama negara itu, menang di Louisiana yang dilihat sebagai pertandingan terbesar kelmarin.

Pengundian penting selepas ini ialah esok apabila penyokong kedua-dua parti itu di Michigan mengundi.

Parti Republikan juga akan mengadakan pemilihan di tiga negeri lain esok iaitu di Mississippi, Idaho dan Hawaii. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 7:16 AM