AZRIN memeriksa kereta yang ditahan atas kesalahan cermin gelap. FOTO Hazreen Mohamad
AZRIN memeriksa kereta yang ditahan atas kesalahan cermin gelap. FOTO Hazreen Mohamad
Alias Abd Rani dan Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Dua belas kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan dikenakan tindakan saman dalam Ops Khas Motosikal sempena Operasi Hari Raya 2016 di tujuh lokasi sekitar daerah ini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Azrin Borhan berkata, semua saman itu dikeluarkan polis terhadap pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas akibat sekatan jalan raya yang dilakukan sepanjang operasi yang bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, 188 pegawai dan anggota dari JPJ, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar terbabit dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, JPJ mengeluarkan 203 notis atas pelbagai kesalahan selain menyita sebuah kereta dan tiga motosikal kerana tiada cukai jalan dan mengubahsuai kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Selain itu, polis mengeluarkan 59 saman terhadap penunggang motosikal dan pemandu kereta atas pelbagai kesalahan. Mereka juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun hasil penemuan dua paket syabu di dalam poket seluarnya.

"AADK pula menahan 20 individu positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan manakala JIM menahan tiga warga asing masing-masing dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh berusia 20 hingga 40-an," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi berkenaan di Kilometer 7 Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Medan Selera Senawang di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 1:07 PM