DR Tan menjalankan uji kaji cendawan.
DR Tan menjalankan uji kaji cendawan.
CENDAWAN susu harimau.
CENDAWAN susu harimau.
BERAS perang sebagai medium tanaman.
BERAS perang sebagai medium tanaman.
TMM tumbuh segar dalam bekas tanaman.
TMM tumbuh segar dalam bekas tanaman.
SUSUNAN bekas tanaman daripada plastik.
SUSUNAN bekas tanaman daripada plastik.
DR Tan dan Ng menunjukkan cendawan.
DR Tan dan Ng menunjukkan cendawan.
Rashidah Ibrahim


Dahulu kulat susu harimau hanya boleh didapati di kawasan hutan tebal, itu pun sukar diperoleh kerana hanya bahagian ‘payungnya’ muncul ke permukaan bumi. Ini menyebabkan ia dikatakan hampir pupus.

Bagaimanapun, dengan menggunakan teknologi terkini, LiGNO Biotech Sdn Bhd berjaya menanam kulat itu yang khasiatnya sama seperti di hutan.

Kulat susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerus atau Polyporus rhinocerus adalah daripada keluarga Polyporaceae.

Kehebatan khasiat kulat susu harimau atau dalam bahasa Inggeris Tiger’s Milk Mushroom (TMM) sudah lama diketahui kerana nilai tinggi untuk merawat penyakit.

Sejarah penggunaan kulat susu harimau dalam perubatan dicatat 400 tahun lalu. Memetik ‘The Diary of John Everlyn’ 1664, pemberian kulat itu kepada ejen Eropah oleh Orang Asli dari Asia Tenggara ketika itu adalah sebagai tanda penghargaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn Bhd, Ng Szu Ting berkata, tumbuhan jenis fungus itu dibahagikan kepada sebelah atas (payung), tengah (batang) dan bawah (ubi atau sclerotium),

Beliau berkata, bahagian ubi disahkan mempunyai nilai perubatan. Kulat susu harimau antara khazanah Malaysia kerana kesukaran menjumpainya dan hanya tumbuh di kawasan hutan hujan tropika Asia Tenggara.

“Ia cendawan herba yang boleh ditemui di perhutanan Malaysia. Disebabkan rimba habitat harimau, kulat ini tidak dijumpai di kawasan orang lalu-lalang melainkan hanya tumbuh di kawasan hutan tebal tertentu terutama Banjaran Titiwangsa.

“Kulat ini tumbuh di bawah tanah dan hanya payungnya keluar ke permukaan bumi, justeru sukar mencarinya melainkan pakar sahaja. Kemunculan payung menjadi petunjuk untuk mencari cendawan berkenaan.

“Cendawan ini diguna dengan meluas oleh penduduk tempatan sebagai ubat dan tonik serba guna sekitar tahun 1950 hingga 1960-an, namun dilupakan sejak masyarakat bertukar kepada penggunaan ubatan dadah dari Barat bermula 1970-an,” katanya.

Ng anak kelahiran Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Biokimia dan Ijazah Sarjana Bioteknologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bekalan cendawan susu harimau terhad kerana hanya ada di kawasan tertentu hutan tropika Malaysia, Indonesia, China selatan, Thailand dan Filipina.

“Lagi pun ia spesies jarang didapati. Misalnya di Papua New Guine hanya dijumpai dalam hutan jika bernasib baik. Ini kerana sclerotia cenderung diam di dalam tanah. Jika bercambah pun hanya terhad kepada beberapa kilometer radius kawasan terbabit.

“Saya terdorong mengusahakan tanaman kulat selepas mendengar ucapan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Konvesyen Bioteknologi 2002 yang mencadangkan supaya dimulakan penyelidikan mengenai cendawan itu.

“Saya memulakan usaha itu asalnya sebagai penyelidikan untuk projek doktor falsafah (PhD), namun berakhir menjadi enterprenur selepas melihat keberkesanan penggunaan kulat yang kami tanam terhadap pesakit respiratori asma dan sinus,” katanya.

Menurutnya, lapan tahun mengusahakan penyelidikan (2002 hingga 2009), akhirnya teknologi itu berjaya dibangunkan. Ia membawa kepada penubuhan LiGNO Biotech Sdn Bhd pada 2009.

“Kami dianugerahkan geran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk memulakan penanaman. Sekitar 2010 hingga 2012, bermulalah perusahaan serta perniagaan syarikat itu dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Dalam projek ini, saya bekerja erat dengan Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Dr Tan Chon Seng, 54, yang juga Penasihat Teknikal LiGNO Biotech,” katanya.

“Melalui teknologi sistem tanaman dalam bilik yang dikawal, kulat susu harimau hidup dengan baik pada medium penanaman yang dirumus khas sehingga dapat membentuk sclerotia yang setaraf mutu jenis liar,” katanya.

Katanya, pertumbuhan payung cendawan dielakkan kerana khasiat adalah pada ubi, justeru ia dituai sebelum batang dan payung tumbuh bagi mendapat nilai tertinggi untuk perubatan.

“Cendawan itu juga dipetik dalam keadaan optimum bagi memungkinkan dilakukan penyeragaman di setiap peringkat pengeluaran dan menjamin kadar hasil.

“Ia hanya ditanam dalam susunan kotak plastik lut sinar dalam bilik yang dikawal, kotak hanya dibuka sewaktu cendawan hendak dituai, justeru semuanya hidup secara bersih dan dalam keadaan steril.

Teknologi itu dengan mudah meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 500 kilogram (kg) sebulan dalam hanya satu bilik seluas 800 kaki persegi. Bilik itu memuatkan 1,000 kotak dengan setiap kotak mengandungi 50 gram cendawan,” katanya.

Kajian santifik beberapa universiti seperti Universiti Malaya (UM), Nottingham University dan Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan cendawan itu selamat dimakan tanpa kesan sampingan.

Kajian juga menunjukkan cendawan itu mempunyai aktiviti antiradang, mengawal imuniti, antioksida dan antialergi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 5:03 AM