Muhammad Zulhanif bersama sate warna-warni di restorannya di Kemaman, Terengganu. - Foto najibrazak.com
Muhammad Zulhanif bersama sate warna-warni di restorannya di Kemaman, Terengganu. - Foto najibrazak.com
BERNAMA

Chukai: Sate warna-warni mungkin agak pelik didengari namun kelazatannya tetap terasa walaupun warnanya tidak seperti kelazimannya.

Sate warna-warni menjadi fenomena baru di Terengganu khususnya di Kemaman malah mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri sebagai juadah Hari Raya.

Pengusahanya, Muhammad Zulhanif Hazman, 22, berkata permintaan sate ayam warna-warni yang dihasilkannya sejak empat bulan lalu meningkat sekali ganda pada bulan ini.

"Alhamdulillah, sate warna-warni yang terdiri daripada empat warna iaitu kuning, biru, merah dan hijau, mendapat permintaan tinggi terutama menjelang

Hari Raya berbanding bulan biasa, tempahan tak sampai 15 ribu cucuk.

"Saya berniaga sate ayam dan daging sejak lima tahun lalu namun idea membuat sate warna-warni ini tercetus selepas mendapat nasihat pembimbing program Empower Ecer yang saya sertai di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Mereka nasihatkan saya cetuskan kelainan sebab sekarang orang sukakan kelainan," katanya yang ditemui di kedainya di sini, hari ini.

Muhammad Zulhanif berkata sate berwarna yang dihasilkannya mempunyai keistimewaan tersendiri dan beliau menggunakan ramuan turun-temurun yang diwarisi nenek serta ibunya.

"Rasa sate warna-warni ini juga lebih enak walaupun dihidangkan sama seperti sate lain,

“Sate warna-warni dan sate ayam saya jual 70 sen secucuk manakala bagi sate daging, saya jual dengan harga 90 sen secucuk," katanya.

Muhammad Zulhanif berkata, meskipun menerima kritikan orang ramai pada awalnya kerana menghasilkan sate ganjil, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencipta kelainan.

"Bagi orang muda, mereka cakap sate saya 'hipster' dan menjadi satu menu wajib dicuba bila datang ke Kemaman sebab di tempat lain tak ada, Namun ada juga yang cakap, 'sate apa macam ni warna-warni' tapi bila mereka mencubanya, pasti tak akan menyesal.

Sate ayam dan daging juga turut mendapat permintaan tinggi pada bulan ini dan beliau sediakan hampir 60 ribu cucuk sate untuk Aidilfitri berbanding biasa tidak sampai 30 ribu cucuk sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 8:18 PM