MOHAMAD Sharwani menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan.
MOHAMAD Sharwani menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah yang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, pada 2 Disember lalu dan mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM7,572 antara Disember 2011 hingga di Julai 2012, hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Muhammad Sharwani Ramli, 35, didakwa dengan lima pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menerima sejumlah cek dan wang tunai daripada dua individu darpada sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan berkaitan pasir dan tanah merah.

Tertuduh pada minggu lalu, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan, namun meminta mahkamah menangguhkan hukuman pada hari ini dan ketika Hakim Madihah Harullah bersedia menjatuhkan hukuman, Muhammad Sharwani menukar pengakuan dan meminta dibicarakan serta akan melantik peguam mewakilinya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mukhriz Mat Rus, kemudian meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes.

Hakim menetapkan 7 Januari depan bagi sebutan semula kes dan mengekalkan jaminan yang diberikan sebelum ini iaitu sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 10:31 AM