Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seorang pegurus dan tiga pegawai Jabatan Muzium Malaysia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri selepas disyaki terbabit dalam kes mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu.

Jurucakap SPRM berkata, mereka ditahan semalam dan dibawa ke pejabat SPRM negeri untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan.

"Kesemua mereka berusia 30 hingga 50 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

"Mereka dipercayai terbabit dalam penyelewangan apabila siasatan awal dijalankan menunjukkan terdapat ketirisan wang kerajaan kira-kira RM700,000 dalam tempoh 2013 hingga 2015," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan SPRM juga mendapati mereka mengemukakan dokumen yang mengadungi butiran matan palsu melalui beberapa pesanan kerajaan kepada Jabatan Muzium Malaysia di Perak, Negeri Sembilan serta Melaka sedangkan kerja yang dimaksudkan tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Azmi Alias mengesahkan mengenai tangkapan empat individu terbabit dan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 5:52 PM