FOTO menunjukkan asap dalam kabin pesawat berkenaan (kanan) dan enjin kiri yang terbakar. FOTO Xiaohongshu, @chinaavreview/x
FOTO menunjukkan asap dalam kabin pesawat berkenaan (kanan) dan enjin kiri yang terbakar. FOTO Xiaohongshu, @chinaavreview/x
AFP

Singapura: Sebuah pesawat Air China melakukan pendaratan cemas di Singapura pada Ahad, selepas enjin kirinya terbakar hingga menyebabkan sembilan daripada 155 individu di dalam pesawat itu mengalami kecederaan ringan, kata pihak berkuasa.

Lapangan Terbang Changi dalam satu kenyataan di Facebook (FB) memaklumkan, penerbangan CA403 itu berlepas dari bandar Chengdu di barat daya China, sebelum asap dikesan pada ruang simpanan kargo hadapan dan tandas ketika pesawat itu dalam perjalanan ke Singapura.

"Pesawat itu mendarat kira-kira 4.15 petang waktu tempatan dan semua penumpang serta anak kapal dipindahkan dengan selamat.

"Api di bahagian kiri enjin sudah dipadamkan," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata, pesawat itu membawa 146 penumpang dan sembilan anak kapal.

"Sembilan penumpang mengalami kecederaan ringan akibat terhidu asap dan melecet semasa proses pemindahan. Mereka sudah menerima rawatan," katanya.

Klip video yang dimuat naik di internet menunjukkan penumpang keluar pesawat menggunakan gelongsor kecemasan untuk ke landasan.

Landasan itu ditutup seketika dan sebuah pesawat dilencongkan ke pulau berdekatan iaitu Batam di Indonesia, kata CAAS.

Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan sedang menyiasat kejadian itu dan menghubungi rakan sejawatan dari China untuk membantu siasatan.

Air China bagaimanapun belum menjawab pertanyaan AFP ketika diminta mengulas isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 9:53 AM