SALAH satu pesawat kargo Transair Boeing 737 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dainel K Inouye di Hawaii. FOTO AFP
SALAH satu pesawat kargo Transair Boeing 737 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dainel K Inouye di Hawaii. FOTO AFP
AFP

Washington: Sebuah pesawat kargo Boeing 737 dengan dua anak kapal melakukan pendaratan cemas di perairan Honolulu, semalam, ekoran masalah pada enjin.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, seorang juruterbang kritikal manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius.

Transair Flight 810 menuju Honolulu menerusi lapangan terbang di Maui, menurut data penerbangan FlightAWare.

Pesawat itu cuba berpatah balik ke Honolulu ketika terpaksa mendarat di perairan kira-kira 1.30 pagi waktu tempatan, kata seorang jurucakap FAA dalam satu kenyataan.

"Menurut maklumat awal, Pengawal Pantai Amerika Syarikat menyelamatkan kedua-dua anak kapal. FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) akan menyiasat," kata kenyataan itu.

Jurucakap Pengawal Pantai, Matthew West, berkata, helikopter pengawal pantai menyelamatkan salah seorang kru, sementara seorang lagi diselamatkan helikopter bomba.

West berkata, kedua-dua anak kapal dibawa ke hospital Honolulu untuk rawatan.

Hawaii News Now, sebuah rangkaian berita dalam talian yang dikendalikan CBS dan NBC tempatan, berkata, seorang juruterbang berusia 58 tahun kritikal, sementara juruterbang kedua berusia 50, berada dalam keadaan serius dengan kecederaan kepala dan beberapa luka.

Sumber memberitahu AFP bahawa pesawat itu mungkin 737 Classic yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 33 tahun.

Jurucakap Boeing berkata, syarikat itu mengikuti laporan dari Honolulu" dan memantau secara dekat situasi itu

Syarikat penerbangan itu mengatakan bahawa pihaknya menghubungi NTSB dan berusaha mengumpulkan lebih banyak maklumat.

Sebelum ini, dua pesawat penumpang Boeing 737 MAX pada 2018 dan 2019, menyebabkan hampir 350 orang maut.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 11:36 AM