Syed Hamid mencuba perkhidmatan Mybas yang sudah mula beroperasi di Ipoh pada 1 Jun lalu melalui Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST). FOTO Muhaizan Yahya
Syed Hamid mencuba perkhidmatan Mybas yang sudah mula beroperasi di Ipoh pada 1 Jun lalu melalui Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST). FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Perkhidmatan pengangkutan awam terutama bas ekspres sempena cuti Aidilftri kali ini adalah mencukupi dan setakat ini tidak memerlukan khidmat bas tambahan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata, pihaknya setakat ini hanya menerima beberapa permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) daripada pengusaha bas terutama membabitkan laluan ke selatan tanah air.

Menurutnya, bagi laluan utara tiada masalah kekurangan perkhidmatan bas ekspres dan setakat ini dan pengusaha masih menjual tiket raya mengikut kuota sedia ada.

"Masalah kekurangan bas ekspres setiap kali musim perayaan boleh dikatakan isu lama dan sudah dapat ditangani oleh kerajaan dengan baik serta ia terbukti kini banyak pengusaha bas tidak lagi perlu menggunakan bas tambahan.

"Bagi laluan utara masalah kekurangan bas pada musim perayaan ini banyak dibantu dengan adanya Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang kini beroperasi sehingga ke Padang Besar, Perlis," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan perkhidmatan Mybas di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai kini sudah mempunyai banyak pilihan, namun yang menjadi masalah adalah sikap pengguna pengangkutan awam itu sendiri yang suka menunggu saat akhir untuk membeli tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 3:15 PM