PENDAKIAN menghampiri puncak perlu melalui kawasan lereng gunung.
PENDAKIAN menghampiri puncak perlu melalui kawasan lereng gunung.
KAWASAN lapang Lembah Kijang laluan utama menyambungkan Gunung Welirang dan Gunung Arjuno.
KAWASAN lapang Lembah Kijang laluan utama menyambungkan Gunung Welirang dan Gunung Arjuno.
MEMULAKAN pendakian dari pondok di kaki gunung Tretes pada jam 6 pagi.
MEMULAKAN pendakian dari pondok di kaki gunung Tretes pada jam 6 pagi.
FAIZ (kiri) bersama kumpulan pendaki yang memakai kain pelekat dan kain batik merakam detik bermakna di puncak Gunung Welirang.
FAIZ (kiri) bersama kumpulan pendaki yang memakai kain pelekat dan kain batik merakam detik bermakna di puncak Gunung Welirang.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Minat mendalam terhadap keindahan alam semula jadi menyebabkan Muhammad Faiz Zakaria, 25, mencabar diri mendaki gunung buat pertama kali di Indonesia.

Pendakian merentangi dua gunung berapi iaitu Gunung Welirang dan Gunung Arjuno di Jawa Timur dekat Malang mengambil masa tiga hari dan pengalaman pertama Faiz bermalam di kawasan pergunungan.

Menurut Faiz, walaupun itu pengalaman pertamanya, ia cukup bermakna dan masih segar bermain di fikiran.

“Saya tak pernah mendaki gunung dan ini percubaan pertama dan tak sangka akan jatuh cinta dengan aktiviti ini.

“Ini kerana keunikan dan keindahan alam semula jadi yang saya lihat sepanjang pendakian dan ketika di puncak sangat berharga dan tidak dapat saya lupakan,” katanya.

Dia yang menyertai kumpulan 10 pendaki dari Malaysia mendaki Gunung Welirang setinggi 3,156 meter dari paras laut melalui Tretes dan bertolak jam 6 pagi dari pondok pendakian.

Katanya, kawasan itu agak luas dan menjadi laluan penduduk tempatan ke puncak bagi memungut sumber asli di kawah gunung berkenaan.

Gunung Welirang yang bermaksud gunung belerang adalah gunung berapi aktif. Ia menjadi sumber asli belerang untuk kegunaan penduduk tempatan.

Berbeza dengan hutan di Malaysia, trek mendakinya berpasir dan berbatu-batan manakala landskap pokok juga lebih lapang.

Kumpulan pendakian itu berkhemah dan bermalam di perhentian ketiga setinggi 2,200 meter dari paras laut sebelum meneruskan perjalanan ke puncak, keesokan harinya.

Menurut Faiz, sepanjang perjalanan sebelum tiba di kawasan perkhemahan, mereka berhenti di beberapa lokasi bagi merakam saat indah.

“Kami berhenti di beberapa lokasi untuk merakam gambar landskap menyejukkan mata selain berhenti mengambil air minuman.

“Paling menarik kami berhenti di kawasan ‘Savannah’ kerana lokasi itu kelihatan seakan-akan Savannah di Amerika Syarikat yang lapang dan tiada pokok tinggi yang jarang-jarang.

“Kami terus disajikan pemandangan indah itu sehingga tiba di kem yang menggamit keterujaan saya kerana lokasi menghijau itu kelihatan seperti latar filem Hobbit,” katanya.

Perjalanan ke puncak Gunung Welirang diteruskan keesokan harinya pada jam 4.30 pagi dan melalui kawasan berlereng sebelum tiba di puncak sekitar jam 7 pagi.

“Walaupun tidak berkesempatan menyaksikan panorama matahari terbit, saya puas hati kerana keunikan landskap di puncak itu dan ia pertama kali saya dapat lihat pemandangan sekitar kawasan gunung berapi.

“Sebaik sampai di atas, kelihatan kawah belerang berasap serta bau tengik menusuk hidung yang terhasil daripada sulfur,” katanya.

Kumpulan itu kemudian berehat dan mengambil peluang mengambil gambar di atas puncak berkenaan sehingga jam 10 pagi sebelum turun ke tapak perkhemahan bagi meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Arjuno pula.

“Berbeza dengan perjalanan ke Gunung Welirang, trek ke Gunung Arjuno lebih sukar kerana ia jarang didaki penduduk tempatan,” katanya.

Mereka bergerak jam 11 pagi dan tiba di kawasan lapang yang dipenuhi landskap kehijauan mendamaikan sekitar jam 12 tengah hari.

Menurut Faiz, pemandangan di lokasi perhentian diberi nama Lembah Kijang cukup mendamaikan.

“Kami berehat seketika sebelum meneruskan pendakian untuk mencari tapak perkhemahan sebelum ke puncak.

“Selepas mendaki sekitar dua jam, baru kami sedar Lembah Kijang lokasi terakhir untuk mendapatkan sumber air dan satu-satunya tapak perkhemahan, namun kami tetap meneruskan perjalanan kerana tidak mahu berpatah balik.

“Akhirnya kami tiba di kawasan setinggi 3,218 dari aras laut pada jam 6 petang dan mencari kawasan rata untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk bermalam,” katanya.

Ketika itu kumpulan pendaki sudah hampir dengan puncak Gunung Arjuno pada ketinggian 3,339 dari aras laut, namun disebabkan hujan dan hari makin gelap, mereka membatalkan hajat mencari tapak perkhemahan di puncak.

Segala keperitan dan cabaran menjejaki Gunung Arjuno terbayar apabila akhirnya mereka tiba di puncak pada jam 9 pagi dan disajikan panorama indah.

“Puncak Gunung Arjuno dipenuhi batu besar menyajikan keindahan ‘lautan awan’ yang tenang dan mendamaikan.

“Kami berada di puncak dikelilingi awan itu sehingga jam 12 tengah hari sebelum bergerak turun dan menamatkan pendakian,” katanya.

Perjalanan turun yang mengambil masa lapan jam itu melalui empat candi yang menjadi lokasi pemujaan penduduk tempatan.

Disebabkan masa diambil untuk turun ke Purwosari memakan masa lama, kumpulan pendaki tidak berkesempatan merakam gambar kenangan kerana mengejar masa.

“Pada awalnya kami diberitahu hanya memerlukan empat jam untuk sampai di bawah gunung.

“Namun, selepas empat jam belum sampai, kami terpaksa bergegas kerana hari semakin gelap sebelum tiba di Purwosari sekitar jam 8 malam,” katanya.

Faiz berkata, pengalaman merentang Gunung Welirang dan Arjuno pengalaman indah dan menjadi pembakar semangat untuk terus menakluk puncak gunung lain.

“Kedua-dua gunung menyajikan pemandangan luar biasa, namun setiap satu memberi pengalaman berbeza.

“Yang pasti saya tidak serik untuk mendaki dan meneroka keindahan alam ciptaan Tuhan dan lokasi pendakian seterusnya ialah Gunung Semeru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 5:02 AM