PEKERJA warga Nepal patah tangan kanan selepas tersepit dalam mesin pemprosesan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
PEKERJA warga Nepal patah tangan kanan selepas tersepit dalam mesin pemprosesan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Pekerja kilang patah tangan kanan selepas tersepit pada mesin memproses makanan dalam kejadian di kilang makanan di Ayer Keroh di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lelaki berkenan yang juga warga Nepal Dangi Bisnu, 28, nyaris maut apabila tangannya tersepit sehingga paras bahu pada mesin terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sahar Ludin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.06 tengah hari, sebuah jentera bomba serta Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian bersama lima anggota termasuk seorang pegawai.

"Setibanya di lokasi mangsa sudah dikeluarkan oleh pihak kilang dan pembantu perubatan Hospital Melaka (HM) bersama pasukan EMRS segera memberi rawatan awal memandangkan tangannya sudah dipenuhi darah.

"Mangsa yang patah tangan kemudian dikejarkan ke HM untuk menerima rawatan lanjut dan dia bernasib baik kerana rakannya bertindak pantas mematikan suis mesin terbabit jika tidak pasti perkara buruk terjadi " katanya.

Menurutnya, pihak bomba akan mendapatkan keterangan daripada pihak kilang bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:22 PM